Sorting by

×

Melaka pertingkat usaha bantu B40 miliki rumah

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

REMBIA 13 Dis. – Kerajaan Negeri Melaka komited untuk memastikan rakyat di negeri ini khususnya golongan B40 memiliki rumah sendiri dengan harga yang berpatutan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, antara usaha ke arah mencapai matlamat tersebut ialah dengan memperkenalkan beberapa program perumahan bagi memenuhi hasrat dan kehendak rakyat.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut menggiatkan projek usahasama dengan pemaju swasta bagi memastikan hala tuju sektor perumahan Negeri Melaka mencapai objektif dengan mengekalkan harga rumah terendah di Malaysia.

SULAIMAN

“Saya berharap, dengan sokongan padu dan kerjasama pemaju perumahan swasta, kita dapat mengekalkan kedudukan harga rumah yang berpatutan demi kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat.

“Saya juga mahukan pihak pemaju perumahan swasta sentiasa mengambil berat dan prihatin dalam meneliti setiap harga siling yang ingin dikemukakan kepada rakyat agar ianya kekal wajar dan berpatutan serta mampu dimiliki oleh segenap penduduk Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menghadiri majlis perasmian projek perumahan Taman Puncak Kasa Heights, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Sulaiman berkata, projek berbentuk Rumah Kluster Bandar berjumlah 1,160 unit yang hampir siap dibina itu merupakan antara inisiatif kerajaan untuk membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri dengan harga yang rendah.

Jelasnya, kediaman yang berkonsepkan ‘eco’ itu turut mempunyai pelbagai fasiliti lain seperti tempat beriadah dewan serbaguna, surau, padang permainan, tadika serta kedai-kedai untuk kemudahan rakyat.

Tambahnya lagi, lokasi perumahan itu juga cukup strategik memandangkan ia terletak hanya kira-kira 10 km dari plaza tol Simpang Empat dan 2.4 km dari bandar Alor Gajah.

Views:

976
Kongsi :
Previous post Akta Lompat Parti penting demi kestabilan politik
Next post Belanjawan 2021 dijangka rancakkan kembali industri pelancongan negara
Ubah saiz-+=