Melaka pertimbang hantar pulang pekerja asing

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat
KETUA Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md. Ali (kiri) beramah mesra bersama Ainul Mardhiah (tengah) disaksikan bapa Ainul, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak (kanan) di Taman Desa Ayer Molek hari ini.

AYER MOLEK 6 Jun – Kerajaan negeri sedang menjalankan kajian menyeluruh mengenai keperluan menghantar pulang pekerja asing yang bekerja di negeri ini, susulan penularan pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Haji Sulaiman Md. Ali berkata, Melaka akur dengan arahan yang diputuskan Kerajaan Pusat, terutamanya menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai penghantaran pulang pekerja asing ke negara masing-masing.

Menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) katanya, pihaknya telah mengarahkan agensi kerajaan, terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan kajian terperinci mengenai perkara itu mengikut keseimbangan ekonomi negeri.

“Sudah pasti, dalam tempoh keadaan hari ini berlaku pandemik Covid 19, kita mesti berhati-hati.

“Bagi mereka (pekerja asing) yang dijangkiti, kita akan menghantar pulang, tetapi bagi mereka yang masih ada di sini, kita perlu melihat keadaan ekonomi negeri.

“Kita mengambil perhatian serius dan kajian terperinci yang sedang lakukan dan akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita dalam lawatan ziarah kasih ke kediaman, bayi yang sebelum ini selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan mulut akibat penyakit kanser ‘Germ Cell Tumor’ tahun lalu, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin di Taman Desa Ayer Molek, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Latifah Omar.

Sulaiman berkata, kajian itu juga perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk penggantian pekerja tempatan dalam sektor tertentu terutama, dalam industri pembinaan dan pertanian yang rata-ratanya dipelopori pekerja asing.

“Kalau negeri lain ada yang menghantar mereka pulang, kita juga akan melakukan perkara sama bagi memastikan pandemik ini tidak terus merebak.

“Namun, sebelum penghantaran pulang kita akan lihat siapa yang akan menggantikan mereka bagi membantu ekonomi negeri.

“Jangan nanti apabila kita hantar pulang, akhirnya ekonomi negeri, terutama dalam sektor yang saya maklumkan tadi (pembinaan, pertanian dan perniagaan pasar awam) tidak dapat berjalan berikutan kekurangan pekerja, perkara itu akan diambil kira,” katanya.

Semalam, Kerajaan Johor memutuskan tiada lagi warga asing dibenarkan berniaga atau menjaja serta diambil bekerja di pasar awam dan premis perniagaan milik PBT di negeri berkenaan.

Views:

696
Kongsi :
Previous post Mara Mall: Jika SPRM mahu siasat, dipersilakan – KM
Next post Perkembangan Ainul Mardhiah positif, semakin lasak
Ubah saiz-+=