Melaka pertama benarkan ADUN positif COVID hadir sidang DUN secara maya.
SERI NEGERI 21 Sept. – Melaka menjadi negeri pertama membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) secara maya.
Terdahulu, usul itu dikemukakan oleh ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Utama Ir. Idris Haron yang memohon agar ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dibenarkan menghadiri Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 secara hybrid berikutan sedang menjalani kuarantin selepas disahkan positif COVID-19.
Beliau berharap majoriti Ahli Dewan menyokong penangguhan peraturan sahaja buat sementara bagi membenarkan Nor Azman menghadiri sidang itu secara atas talian.
“Kalau majoriti Ahli Dewan bersetuju untuk bersodaliriti dengan kawan kita yang terpencil ini untuk hadir secara online dan kita yang pertama, negeri yang menganjur sidang dewan secara hybrid, lain dari yang lain,” katanya sebelum perbahasan dimulakan.
Usul itu kemudian disokong oleh Datuk Wira Ar. Ismail Othman (BN – Kuala Linggi) serta Ketua Pembangkang, Adly Zahari (PH-Bukit Katil yang bersetuju secara dasar.
Bagaimanapun, Adly berpendapat ADUN Pantai Kundor itu tidak boleh mengundi kerana ia membabitkan banyak perkara lain.
Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kemudian memberi peluang semua ADUN untuk membuat undian terhadap usul itu yang kemudiannya diluluskan sebulat suara dengan Datuk Nor Azman hanya dibenarkan menghadiri persidangan secara maya dan tidak dibenarkan mengundi.
Sementara itu, dalam sidang media, Datuk Seri Utama Ir. Idris Haron berkata, biarpun terdapat kekangan dari segi peraturan dewan, namun kehadiran wakil rakyat itu ke persidangan tersebut adalah penting demi kemajuan perkembangan kerjaya politiknya.
Justeru, katanya, keabsahan pelaksanaan persidangan dewan pada kali ini tidak perlu dipertikaikan memandangkan usul tersebut turut mendapat sokongan majoriti.
“Jadi Melaka mungkin akan menjadi negeri di mana segala-galanya bermula lah.
“Alhamdulillah hari ini terbukti kita dah laksanakan dan dari segi keabsahan dewan itu tidak boleh dipersoalkan kerana saya difahamkan tadi ketua menteri juga mengundi.
“Dan buat pertama kali usul saya tadi mendapat sokongan 100 peratus ahli dewan.
“Supaya kita bersolidariti Datuk Azman Hassan akan menghadiri secara online, tetapi kita bersetuju tidak ada sebarang undian,” katanya menambah tidak ada pihak boleh mempersoalkan keabsahan sidang dewan kita kali ini.
Mengulas lanjut, beliau sama sekali menafikan usul yang dibentangkan di dewan itu adalah bersifat peribadi, sebaliknya ia mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 ketika ini.
“Usul untuk menangguhkan satu-satu peraturan dewan itu yang mengehadkan YB (Yang Berhormat) mesti hadir bersemuka.
“YB tak boleh hadir secara online, kita tangguhkan peraturan itu dan kita bersetuju YB boleh hadir secara online selama tempoh dewan bersidang.
“…harapan saya, Jawatankuasa Perlembagaan Dewan, peraturan dewan akan bersidang untuk meminda peraturan-peraturan di dalam buku ‘Point Of Order’ itu untuk disesuaikan dengan kehendak dan keperluan masa kini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.