Melaka perluas program berlandaskan nilai Islam – KM

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

PAYA RUMPUT 7 Julai – Pelbagai program berlandaskan nilai islam akan terus dianjurkan di Melaka agar syiar Islam terus berkembang kepada seluruh rakyat negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri tidak akan meminggirkan nilai agama Islam dan akan memastikan ia terus diperluaskan menerusi pelbagai penganjuran program Islamik.

Beliau berkata, selain memartabatkan Islam langkah itu sekali gus mampu mengembalikan kegemilangan Melaka pada kurun ke-14 yang dikenali dunia sebagai pusat penyebaran agama Islam dan kota perdagangan yang hebat suatu ketika dahulu.

“Kita tidak akan meminggirkan sebarang program yang berlandaskan Islamik seperti ini dan akan terus tetap dianjurkan di Melaka untuk memastikan nilai-nilai kerohanian berkaitan agama Islam terus ditegakkan di negeri ini.

“Oleh itu, pelbagai program akan dilaksanakan Kerajaan Negeri dan menyarankan ke semua masjid dan surau di negeri ini supaya dapat menganjurkan lebih banyak program seperti ini.

“Tanpa meminggirkan nilai ini saya percaya Melaka akan terus gemilang bersama-sama rakyatnya yang menyumbang kepada kestabilan pentadbiran Kerajaan Negeri dan politik di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024 di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri; Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Terdahulu, penganjuran bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ mencetus fenomena apabila dibanjiri lautan manusia dengan dianggarkan kira-kira 50,000 umat Islam hadir meraikan sambutan terbabit.

Sambutan bermula 6.50 petang itu membabitkan pelbagai pengisian kerohanian, antaranya bacaan yasin dan kesyukuran, bacaan akhir dan awal tahun, solat maghrib berjemaah serta ceramah perdana oleh pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad.

Img 20240707 070802 662
AB Rauf bergambar bersama penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Melaka. Foto Amin Jenal / Pejabat Ketua Menteri

Dalam pada itu, Ab Rauf memaklumkan sambutan tahun ini turut diwarnai program seperti Bual Bicara Hijrah Saudara Baru (mualaf), Sambutan Hari Asyura dan Menyantuni Anak-anak Yatim, Ziarah Mahabbah MADANI serta pelbagai lagi.

“Saya menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Tahun Baharu kepada semua muslimin dan muslimat, semoga kita sama-sama menyematkan semangat dan iltizam untuk mencapai kejayaan yang membanggakan di samping memposisikan Melaka sebagai sebuah negeri yang ‘Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur’,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

403
Kongsi :
Previous post Lautan manusia banjiri ceramah Ustaz Abdul Somad
Next post Tabika KEMAS Autisme Melaka bermula awal tahun depan
Ubah saiz-+=