Sorting by

×

MELAKA PERLUAS KEMPEN SKIM POTONGAN GAJI ZAKAT

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Disember – Skim Potongan Gaji Zakat akan terus diperluaskan di Melaka bagi memudahkan pekerja beragama Islam melunaskan tanggungjawab berzakat sekali gus menyempurnakan Rukun Islam keempat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri menerusi Zakat Melaka sentiasa menghargai mereka yang komited dan memberi kerjasama dalam meningkatkan kesedaran berzakat khususnya melalui pelaksanaan skim tersebut.

Jelas beliau, aliran setiap bayaran zakat yang diterima tentunya memberi satu sinar harapan terutamanya kepada mereka yang memerlukan bagi mengubah nasib para asnaf, membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan dan membuka jalan ke arah kehidupan yang lebih bermakna dan sejahtera.

“Skim ini lebih mudah untuk setiap individu, di mana nilai bayaran itu telah siap dikira, jadi semua tidak perlu ragu-ragu atau was-was untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Majikan juga perlu memainkan peranan untuk memberi kesedaran kepada para pekerja beragama Islam untuk melakukan skim potongan gaji zakat dan Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan kempen ini diperluas secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Anugerah Majikan Zakat Melaka Tahun 2023, di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pegawai Undang-Undang Negeri Khairul Azreem Mamat; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu dan lain-lain kenamaan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ab Rauf turut memuji usaha dan iltizam Zakat Melaka menghargai dan mengiktiraf majikan yang telah menunjukkan komitmen melaksanakan Skim Potongan Gaji Zakat terhadap anggota perkhidmatan masing-masing.

Menurut beliau, sebanyak 11 Agensi Kategori Sektor Awam dan sembilan Agensi Kategori Sektor Swasta diberikan penghargaan, selain enam Anugerah Khas turut diberikan kepada mereka yang berjaya mengekalkan prestasi cemerlang dalam melunaskan zakat secara konsisten dan aktif bekerjasama dengan Zakat Melaka.

“Saya yakin, penganugerahan seumpama ini bukan sahaja mampu menyemarakkan lagi semangat persaingan sihat antara majikan di sektor awam dan swasta, malah turut mempereratkan ukhwah dan silaturahim sejajar dengan matlamat untuk memperkukuh Syiar Islam di negeri Melaka.

“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua barisan majikan kerana tuan puan telah menjalankan tanggungjawab sekali gus menterjemahkan ‘kepedulian sosial’ demi membentuk kesejahteraan ummah apabila yang susah dibantu, yang lemah terus disantuni,” katanya.

Pada majlis sama, Ab Rauf mewakili Zakat Melaka turut menyempurnakan penerimaan Zakat Perniagaan daripada 11 buah agensi dan syarikat korporat di negeri Melaka dengan nilai keseluruhan RM479,039.98.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

127
Kongsi :
Previous post TRAGEDI KM204: 7 DISAHKAN MAUT, IDENTITI 5 MANGSA DIKENAL PASTI
Next post RM134 JUTA BAYARAN ZAKAT DIAGIHKAN KEPADA ASNAF MELAKA
Ubah saiz-+=