Sorting by

×

MELAKA PERLUAS JUALAN RAHMAH MADANI @ PASAR

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

LENDU 7 Februari – Program Jualan RAHMAH MADANI @ Pasar di Negeri Melaka akan diperluaskan ke beberapa lokasi lain selepas penganjuran sulung diadakan di Pasar Awam Masjid Tanah.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar berkata, sekiranya sambutan yang diterima pihaknya baik dan mendapat sambutan menggalakkan, program itu dijangka akan diteruskan ke pasar awam lain di negeri ini.

Katanya, Pasar Awam Masjid Tanah menjadi lokasi kedua penganjuran jualan itu di Malaysia selepas penganjuran pertama di Pasar Besar Kuala Berang, Terengganu pada 17 Januari lalu.

“Dalam tempoh tiga bulan ini kita akan memantau keberkesanan Jualan RAHMAH MADANI @ Pasar ini bagaimana dan ia akan diadakan dua kali sebulan, sama ada pada hari Jumaat atau Sabtu.

“Namun begitu untuk permulaan di Pasar Awam Masjid Tanah ini kita akan teruskan selama sebulan sebelum pergi ke kawasan lain.

“Dalam tempoh pelaksanaan ini kita akan lihat permintaan keatas program ini sama ada dalam kalangan pelanggan mahupun peniaga yang ingin turut serta,” katanya.

Norena berkata demikian ketika ditemui selepas Pelancaran Program Jualan RAHMAH MADANI @ Pasar Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin, di Pasar Awam Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Menurut Norena, pihaknya menyasarkan pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI @ Pasar diadakan di pasar awam yang kurang mendapat sambutan atau didakwa menjual barangan pada harga tinggi.

“Sasaran kita adalah untuk mencari pasar awam yang dikatakan jarang orang pergi kerana jauh ataupun yang menjadi tumpuan seperti di Kuala Sungai Baru tetapi kerana ada yang dakwa barangnya mahal jadi kita hendak pergi pastikan.

“Seperti pasar ini (Pasar Awam Masjid Tanah) ia dikatakan pasar paling mahal di Melaka jadi kita ingin imbangkan kos sara hidup,” katanya.

Jelasnya, seramai tujuh daripada 15 peniaga di Pasar Awam Masjid Tanah mengambil bahagian menjayakan Program Jualan RAHMAH MADANI @ Pasar dan ianya mendapat sambutan apabila seawal jam 7.30 pagi orang ramai sudah hadir membeli terutamanya ayam segar yang dijual serendah RM7.30 sekilogram.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

120
Kongsi :
Previous post ARWAH PAK LAN DEMAM, HILANG SELERA MAKAN
Next post IKHTIAR RAIS ATASI BANJIR BUKIT RAMBAI