MELAKA PERLUAS JELAJAH USAHAWAN DI SETIAP PARLIMEN

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 22 Oktober – Jelajah Usahawan Negeri Melaka akan diperluaskan di setiap Parlimen bagi membantu usahawan mendapatkan maklumat tentang kemudahan ditawarkan.

Perkara itu bagi menyahut Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukkan sebanyak RM40 bilion sebagai kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan perniagaan di bawah agensi kerajaan untuk sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata inisiatif itu juga secara tidak langsung akan memberi peluang kepada para usahawan di negeri ini menambah ilmu pengetahuan dalam perniagaan mereka.

“Jadi dengan adanya dana ini saya percaya ia secara tidak langsung dapat membantu usahawan di negeri ini.

“Sebagai contoh, baru-baru ini kita telah menganjurkan jelajah usahawan di satu kawasan, jadi lebih baik pada tahun hadapan jelajah ini dilaksanakan di setiap Parlimen pula,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Allex menyuarakan keyakinan bahawa jika jelajah usahawan diperluaskan, lebih ramai usahawan di negeri ini menerima manfaat dan ilmu bagi meningkatkan pendapatan perniagaan mereka.

“Saya percaya jelajah usahawan ini akan memberi peluang kepada mereka (usahawan) untuk bertanya soalan lebih terperinci kepada agensi terlibat.

“Tidak kisah lah sama ada soalan tentang pinjaman perniagaan atau sebagainya,” katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri berkata dalam memacu ekonomi subur, ia tidak hanya tergantung kepada konglomerat utama, malah 90 peratus ekonomi melibatkan perusahaan PMKS yang menggaji hampir separuh pekerja dan menyumbang 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

85
Kongsi :
Previous post MELAKA BAKAL PECAH REKOD KAPAL TERBANG KERTAS
Next post FESTIVAL SUNGAI MELAKA KEMBALI, LEBIH MERIAH TAHUN INI
Ubah saiz-+=