Melaka perketat SOP pelancong dari negeri Rt COVID-19 tinggi
AYER KEROH 30 April – Melaka mungkin akan memperketatkan pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) terhadap mana-mana pelancong dari negeri yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) kes COVID-19 yang tinggi ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, langkah itu bagi memastikan Melaka tidak mendapat kes jangkitan baharu dari luar khususnya negeri yang mencatatkan peningkatan mendadak COVID-19.
“Perkara ini (pelancong dari negeri Rt tinggi) saya akan beri perhatian dan berbincang agensi lain yang terlibat.
“Kita mungkin akan ketatkan SOP dari negeri Rt tinggi ini namun perkara paling utama adalah rakyat di seluruh negara perlu kekal patuh pada SOP sedia ada,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin dilaporkan berkata, Kelantan mungkin dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) jika rakyat terus bersikap degil sehingga menyebabkan kes COVID-19 di negeri itu meningkat.
Menurutnya, Kelantan mencatatkan peningkatan ketara sejak beberapa hari lalu selain wujud beberapa kluster baharu sekaligus meletakkan nilai Rt 1.19, iaitu yang tertinggi di negara ini.
Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.
Bermula 10 Mac lalu, kerajaan membenarkan pergerakan merentas negeri untuk pelancongan domestik membabitkan negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata, kebenaran itu hanya diberikan kepada kenderaan pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) dan bukannya melancong menggunakan kenderaan persendirian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.