Sorting by

×

MELAKA PERKASA PENUBUHAN PDK DI LUAR BANDAR

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 Februari – Kerajaan Negeri akan terus memperkasa Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, meskipun di setiap daerah di negeri ini sudah mempunyai PDK namun pihaknya masih menerima permohonan untuk kelulusan menambah bilangan operasi pusat itu.

Katanya, PDK adalah antara strategi dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial orang kurang upaya (OKU).

“Jumlah PDK di Melaka pada masa ini adalah sebanyak 17 buah dan PDK Seri Malindo terletak di Masjid Tanah adalah yang terbesar di negeri ini.

“Dari semasa ke semasa kita ada permohonan daripada orang persendirian yang memohon untuk membuka PDK baharu tetapi proses kelulusan untuk operasi sesebuah PDK agak rumit.

“Ini kerana banyak syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang mereka perlu patuhi termasuk kesesuaian premis,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata demikian ketika ditemui selepas Temu Bual Eksklusif Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Pengkalan Batu di MelakaFM, di sini, hari ini.

Kalsom berkata, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan bersama-sama dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam pembangunan sekolah anak-anak autisme.

“Bayaran bulanan untuk menghantar anak-anak ini ke sekolah atau pusat autisme agak mahal malah ada yang mencecah ribuan ringgit jadi saya terfikir tentang penubuhan sekolah khas ini.

“Kerana apa akan terjadi kepada anak autisme yang tidak berkemampuan khususnya dari golongan B40, jadi kita akan wujudkan pusat atau sekolah autisme ini untuk anak B40,” katanya.

Namun begitu, beliau memaklumkan cadangan tersebut masih dalam peringkat perbincangan bersama KEMAS memandangkan hanya guru atau individu terlatih sahaja yang boleh menguruskan anak-anak istimewa itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

48
Kongsi :
Previous post HELIKOPTER TERBAKAR DI BENTONG, JURUTERA WARGA INDONESIA MAUT
Next post KPM SASAR LIMA TAHUN LAKSANA SEKOLAH SATU SESI SELURUH NEGARA