
MELAKA PERINTIS LAKSANA TABIKA BERKEPERLUAN KHAS
TELOK MAS 27 Februari – Melaka menjadi negeri perintis pelaksanaan Tabika Berkeperluan Khas bagi Program Pembangunan Anak autisme.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata projek dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu akan mula beroperasi pada Julai depan.
“Justeru itu Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM300,000 bagi pelaksanaannya yang mana ia membabitkan tiga lokasi di Alor Gajah, Melaka Tengah dan Merlimau.
“Dengan wujudnya Tabika Berkeperluan Khas ini kita dapat memberi ruang kepada anak-anak autisme belajar dalam persekitaran lebih selesa.
“Kemudahan ini membantu (anak autisme) memperoleh pendidikan yang memenuhi keperluan unik mereka,” katanya pada sidang media selepas Program Pemerkasaan Masyarakat MADANI KEMAS Negeri Melaka di Dewan Pusat Kegiatan Masyarakat Telok Mas di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man dan Pengarah KEMAS Melaka Asri Saleh.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, langkah strategik itu amat penting dalam mengembangkan pendidikan inklusif di negara ini.
“Usaha ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri melalui KEMAS yang sentiasa memastikan semua golongan menerima pendidikan berkualiti.
“Saya berharap usaha ini dapat berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai lagi kanak-kanak autisme di Malaysia.
“Terima kasih juga kepada Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh atas komitmen dan inisiatif beliau merealisasikan program Tabika KEMAS Berkeperluan Khas di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.