MELAKA PERGIAT KEMPEN KESEDARAN TEKNOLOGI, JENAYAH SIBER
BANDARAYA MELAKA 12 November – Sebagai negeri yang giat menuju ke arah transformasi digital, Kerajaan Melaka mencadangkan Institut Tun Perak (ITP) untuk merangka siri kempen kesedaran dunia teknologi kepada pesara dan warga emas.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, kempen itu antara lain memberi penekanan terhadap isu jenayah siber yang sering menyasarkan golongan berkenaan.
Selain itu, kata beliau, kesedaran terhadap dunia teknologi juga perlu didedahkan kepada masyarakat di kawasan luar bandar supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus kemodenan masa kini.
“Saya mencadangkan agar Institut Tun Perak merangka siri kempen kesedaran yang memberi penekanan kepada aspek keselamatan data peribadi agar kegiatan penipuan atau jenayah scam dapat diatasi, khususnya dalam kalangan pesara dan warga emas.
“Selain itu, dalam era digital, kita juga tidak boleh hanya menumpukan kepada pembangunan teknologi di peringkat bandar dan pusat-pusat ekonomi sahaja.
“Bahkan, tumpuan perlu diberi kepada kawasan luar bandar, memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada teknologi ini secara selamat dan bijak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Seminar Melaka Intelligence Centre 2024: Menjalin Kolaborasi Kerajaan, Akademia dan Industri di sebuah hotel di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak, Prof.Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif MiCoST Senator Datuk Mustafa Musa; Ketua ICT Negeri Melaka Fauzi Elham@Alhim serta kenamaan lain.
Dalam pada itu, Fairul Nizam turut berharap masyarakat di seluruh Negeri Melaka diberi pemahaman mengenai kepintaran buatan (AI) supaya mereka tidak rasa takut atau ketinggalan dalam menghadapi perubahan teknologi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.