Sorting by

×

Melaka peneraju teknologi Jerman

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 13 Julai – Melaka bakal menjadi peneraju teknologi dari Jerman menerusi pembangunan German Technology Park (GTP) dan Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), tidak lama lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi kewujudan GTP dan pusat kecemerlangan tinggi itu, negeri ini bakal menjadi pusat pemindahan teknologi bagi pihak Jerman di rantau Asia Tenggara.

Jelas beliau, sekiranya ada syarikat dari Jerman berhasrat melabur di Asia Tenggara, mereka akan datang ke Melaka untuk melatih dan mempertingkat kualiti mutu kerja di kawasan teknologi dan pusat kecemerlangan yang telah disediakan.

“Ini adalah pusat kecemerlangan tinggi pertama yang diwjudkan untuk semua pelabur Jerman datang melabur ke Asia Tenggara dan menjadikan Melaka sebagai pusat pemindahan teknologi atau ‘technology transfer’ dalam pelaburan mereka.

“Selepas ini, mereka tidak perlu lagi melatih dan mempertingkat kualiti mutu kerja di Jerman, sebaliknya boleh menjadikan Melaka sebagai satu hab mereka di rantau Asia Tenggara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya MYFutureJobs Melaka Careertrans 2024, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad; barisan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Siti Faizah Abdul Azis; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ab Rauf memaklumkan, pecah tanah GTP akan diadakan pada Oktober depan yang dijangka akan disempurnakan Menteri Ekonomi Jerman bersama Menteri Ekonomi Malaysia di kawasan seluas 138.07 hektar (341.18 ekar) di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh.

Beliau turut mencadangkan agar PERKESO bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memikirkan hala tuju baharu dalam bidang kerjaya TVET, selain mewujudkan tawaran kerjaya baharu dalam bidang berasaskan teknologi Jerman di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

588
Kongsi :
Previous post Melaka negeri pertama terap elemen permainan dalam karnival kerjaya
Next post Emas Olimpik 2024: Lebih banyak ganjaran menanti atlet
Ubah saiz-+=