
MELAKA PELIHARA WARISAN ORANG ASLI
AYER KEROH 24 Mac – Adat dan tradisi masyarakat Orang Asli merupakan khazanah budaya yang tidak ternilai dan perlu dipertahankan untuk tatapan generasi masa hadapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata menyedari kepentingan ini, Kerajaan Negeri komited untuk memastikan budaya dan nilai kehidupan masyarakat ini terus dipelihara agar tidak pupus ditelan arus moden.
“Sehingga kini, terdapat seramai 1,986 masyarakat Orang Asli di Melaka. Kerajaan Negeri amat prihatin dan akan memastikan bahawa adat istiadat masyarakat ini terus dipelihara.
“Walaupun masa dan teknologi sudah berubah tetapi kita kena pastikan adat istiadat masyarakat ini dikekalkan untuk menjadikan warisan pada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Wacana Kepimpinan Orang Asli & Iftar Ramadan anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Sembilan dan Melaka (JAKOA) di Hotel MITC di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk V.P Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan JAKOA Mohd Zamri Mustajap.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri juga memberikan pelbagai inisiatif bagi memastikan pemeliharaan adat dan nilai-nilai kehidupan Orang Asli dipelihara.
“Pemeliharaan identiti dan tradisi ini amat penting dalam memastikan keharmonian serta kelangsungan budaya unik masyarakat Orang Asli.
“Saya menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat untuk bekerjasama memastikan pembangunan inklusif bagi masyarakat ini.
“Dengan usaha yang berterusan, kita dapat mewujudkan sebuah negeri yang lebih makmur dan harmoni untuk semua,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.