
MELAKA PANTAU KEBERSIHAN PASAR RAMADAN
PENGKALAN BATU 5 Mac – Kesemua pasar Ramadan yang beroperasi di negeri ini akan dipantau secara berterusan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bagi memastikan aspek kebersihan sentiasa diutamakan.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pemantauan dan pemeriksaan itu dilakukan menerusi Operasi Ramadan (Ops Ramadan) bermula 2 Mac lalu.
Jelas beliau, antara objektif utama Ops Ramadan adalah untuk memastikan makanan yang disedia dan dijual di Pasar Ramadan Negeri Melaka adalah selamat dan mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Menerusi operasi ini juga, penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Melaka akan mengadakan taklimat mengenai kebersihan dan keselamatan makanan kepada penganjur pasar Ramadan.
“Selain itu, kempen kesedaran turut diadakan bagi mempromosi dan memberi pendidikan kesihatan kepada orang ramai mengenai kepentingan kebersihan dan keselamatan makanan serta panduan memilih makanan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Peluncuran Kempen Perhati dan Pilih Pasar Ramadan bertemakan ‘Pelihara Sinar Ramadan Dengan Makanan Selamat’ di Pasar Ramadan Peringgit di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Siti Faizah Abdul Azis; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Menurut Hee Sem, dalam keterujaan membeli juadah berbuka puasa di Pasar Ramadan, orang ramai diingatkan agar mengamalkan konsep ‘perhati dan pilih’.
Jelasnya, menjaga keselamatan makanan bukan hanya tanggungjawab pengendali makanan, tetapo juga setiap individu yang membeli supaya sentiasa memastikan juadah yang dipilih dan dihidangkan kepada keluarga adalah bersih dan selamat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.