Melaka pandang serius isu buli doktor pelatih

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 7 Mei – Kerajaan negeri memandang serius isu buli membabitkan doktor pelatih yang sedang hangat diperkatakan kini.

EXCO Kesihatan Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, isu buli tidak seharusnya terjadi dalam landskap dunia perubatan yang kini menjadi antara bidang terpenting dalam negara.

Justeru, bagi memastikan isu sama tidak terjadi di negeri ini, beliau meminta mana-mana pihak untuk menyalurkan aduan secara terus kepadanya.

“Maka, jika mana-mana doktor pelatih di negeri melaka yang mempunyai situasi dibuli begitu teruk sehingga menjatuhkan maruah, anda boleh maklumkan kepada saya secara terus untuk saya siasat sendiri dan ambil tindakan jika ia benar-benar berlaku.

“Ini kerana saya tidak akan biarkan sepanjang saya menjadi EXCO Kesihatan, ada mana-mana doktor pelatih dibuli begitu teruk dan dijatuhkan maruah mereka di dalam negeri melaka.

“Amaran keras juga saya berikan pada mana-mana pegawai perubatan ataupun pakar yang sesuka hati membuli doktor pelatih ini tanpa belas kasihan, jika anda melakukan perkara tersebut sila berhenti sebelum saya ambil tindakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata mengajar dan melatih bukan tiket untuk mana-mana pihak membuli doktor pelatih tanpa memikirkan perasaan mereka.

“Waktu menjalani housemanship officer (HO) ataupun doktor pelatih adalah waktu yang paling penting dan amat kritikal kerana masa inilah saat seorang doktor yang baru sahaja habis medical degree untuk mengguna pakai ilmu di sekolah perubatan dan perlu diasimilasikan dengan pengalaman bekerja yang sebenar.

“Bukan mudah untuk menjalani HO kerana mereka terpaksa bekerja dalam keadaan yang stress, waktu bekerja yang panjang kerana kesusahan dan keperitan itulah yang akan menjadikan doktor-doktor ini seorang doktor yang berjaya.

“Yang paling penting mereka boleh menjadi doktor yang selamat untuk pesakit apabila bekerja sebagai medical officer ataupun pakar, kerana jika mereka cuai ataupun melakukan kesilapan pasti akan menyebabkan nyawa seseorang tergadai,” katanya lagi.

Baru-baru ini, media melaporkan kematian seorang doktor pelatih dari Hospital Pulau Pinang yang dipercayai terjatuh dari bangunan.

Kes itu kemudiannya dikaitkan dengan penderaan mental dan fizikal yang dialami doktor pelatih dan doktor kontrak khususnya di hospital-hospital awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

981
Kongsi :
Previous post Resipi saat akhir Melaka United menjadi
Next post Suasana ala desa, lebih 40 menu di rumah terbuka Aidilfitri esok
Ubah saiz-+=