Sorting by

×

MELAKA NIGHT LIFE: LEBIH 10,000 TERPUKAU AKSI ABANG POLIS

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

BANDA HILIR 15 Disember – Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Persiaran Jalan Merdeka bagi menyaksikan program Melaka Night Life Sempena Program Kerajaan Negeri Melaka Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), malam tadi.

Program julung kali diadakan itu dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama isteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain.

Turut bersama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan,Kerajaan Tempatan, Perubahan Iklim, Saliran dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai-Pegawai Kanan PDRM serta kenamaan lain.

Melaka Nightlife bersama PDRM itu dibuka tirai dengan lagu ‘wajib’ Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) iaitu Senandung Anak Melaka dendangan Yasser Fikri.

Tepat jam 9.30 malam, kehangatan program sang saka biru itu mulai terasa apabila enam penerjun dari Unit Payung Terjun 69 Komando PDRM melakukan penerjunan dari ketinggian 4,000 kaki.

Fb Img 1734226171642
AKSI penerjun dari ketinggian 4,000 kaki. Foto Pejabat Ketua Menteri

Aksi penerjun tepat itu diketuai Asisten Komisioner (ACP) Rosman Kasman dan disertai Sarjan Mejar (SM) Fauzi Mohd, SM Zainal Abiddin Zakaria, Koperal M. Pragash, Khairul Az’ehar dan Sarjan Shamsur Sador.

Selain itu, turut mencuri perhatian adalah gelagat 20 anggota Kawad Patung yang berjaya mencuit hati orang ramai dengan telatah lucu mereka.

Menuju ke acara kemuncak program itu, orang ramai yang hadir dipukau pula dengan pertunjukan aksi motosikal oleh anggota trafik yang mendapat tepukan gemuruh dan sorakan pengunjung.

Seterusnya, pengunjung terus dihiburkan dengan aksi-aksi menaeik oleh PDRM, antaranya sketsa pendek yang menampilkan adegan tembak menembak antara samseng yang menyeludup senjata api dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Fb Img 1734226189645
PERSEMBAHAN menarik yang ditampilkan. Foto Pejabat Ketua Menteri

Tinjauan Melaka Hari Ini di lokasi mendapati menjengah ke tengah malam, orang ramai masih tidak berganjak dan terus menyaksikan pelbagai persembahan yang disajikan.

Selain itu, beberapa lagi acara pentas termasuk pancaragam PDRM turut dipersembahkan kepada pengunjung.

Antara pertunjukan lain yang turut dipersembahkan adalah kawad senyap dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, kawad kaki senyap dari PULAPOL Ayer Hitam, T Baton serta persembahan daripada Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM.

Turut diadakan persembahan pentas daripada artis tempatan, Haiza dan program itu diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

95
Kongsi :
Previous post MELAKA OPTIMIS PASTIKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT, NEGERI TERPELIHARA
Next post PGNM BERCADANG HIDUPKAN KEMBALI KEJOHANAN GOLF 750
Ubah saiz-+=