Sorting by

×

MELAKA NEGERI TERAWAL LAKSANA SISTEM E-TANAH SECARA PFI

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

PUTRAJAYA 6 November – Melaka antara negeri terawal yang melaksanakan sistem e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta (PFI) dengan jumlah peruntukan RM126.19 juta bagi tempoh 14 tahun.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sejak tahun 2014, pentadbiran tanah Negeri Melaka telah pun mengguna pakai Sistem e-Tanah dalam urusan seharian.

Katanya, Melaka merupakan pentadbiran tanah pertama dalam Malaysia yang telah diwartakan di bawah Jadual 16 Kanun Tanah Negara iaitu pelaksanaan sistem pentadbiran tanah secara elektronik.

“Sepanjang tempoh 10 tahun ini, Kerajaan Negeri Melaka komited memperuntukkan kos penyelenggaraan tahunan bagi memastikan sistem ini dapat beroperasi dengan berkesan dan efisien.

“Saya yakin dengan adanya satu sistem e-tanah yang lebih stabil dan terkini, ia akan membuahkan hasil dan impak yang konsisten kepada Negeri Melaka secara keseluruhannya, sekali gus mampu meningkatkan lagi unjuran hasil bagi persediaan bajet pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Sistem e- Tanah Secara Kerjasama Awam Swasta Bagi Negeri Melaka di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr K.Ching Too; Pengerusi Eksekutif Puncak Tegap Sdn Bhd, Syed Azmin Syed Nor dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan sepanjang tahun 2023, keseluruhan hasil negeri yang direkodkan adalah sebanyak RM479.6 juta, di mana RM310.6 juta daripada jumlah tersebut adalah merupakan hasil tanah yang direkodkan dari negeri Melaka.

“Hasil tanah telah menyumbang sebanyak 60 peratus ke 70 peratus daripada keseluruhan hasil Kerajaan Negeri Melaka.

“Sejumlah angka besar ini jelas menunjukkan peri pentingnya hasil tanah ke atas kutipan hasil Kerajaan Negeri secara keseluruhannya.

“Oleh itu, saya amat mengalu-alukan inisiatif untuk menambah baik sistem sedia ada supaya pentadbiran tanah Negeri Melaka akan menjadi lebih produktif dan mesra pelanggan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

170
Kongsi :
Previous post KUBUNG TERSANGKUT KAWAT BERDURI DISELAMATKAN APM
Next post MELAKA TUBUH PASUKAN ‘CORE BUSINESS GROUP’ JAYAKAN INISIATIF E-TANAH
Ubah saiz-+=