Melaka negeri pertama terajui lesen perniagaan digital
Oleh Faiz Hasan dan Nur Ilyana Zainis Zainal
AYER KEROH 9 Sept – Melaka bakal menjadi negeri pertama menjalankan sistem perlesenan secara digital dikenali sebagai myPATIL di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lama lagi.
Ia bakal melibatkan penyertaan 35,000 premis perniagaan berlesen di Melaka untuk menggunakan sistem teknologi pintar berasaskan internet pelbagai benda (IOT) bagi akses perlesenan serta pelbagai lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Gates It Solution Sdn. Bhd., Husni Ruslai berkata, sebagai penyedia perkhidmatan itu, pihaknya komited membangunkan sistem penguatkuasaan PBT di Melaka sekali gus mampu mengatasi isu seperti pengeluaran lesen haram dan palsu hingga memberi kesan kepada pulangan hasil kerajaan negeri.
Katanya, sistem myPATIL akan diperluaskan di negeri ini tidak lama lagi bagi membantu penguat kuasa dan perlesenan PBT negeri menerapkan kaedah digital dalam pekerjaan seharian mereka.
“Mulai 13 hingga 26 September ini sebanyak 1,645 unit aplikasi MyPatil akan dipasang oleh setiap PBT di Melaka.
“Dan menjelang 27 September hingga 1 Oktober depan pula proses ‘Proof Of Concept’ (PoC) akan dilaksanakan bagi membuktikan keberkesanan sistem itu dalam memenuhi keperluan PBT.
“Setiap premis yang berlesen juga akan menerima satu alat peranti yang disediakan untuk diletakkan di setiap premis masing-masing,” katanya dalam temubual khas bersama Melaka Hari Ini.
Menurut Husni, teknologi itu membolehkan bahagian penguatkuasaan dan perlesenan PBT beroperasi lebih efisien dan semua maklumat akan diperoleh secara pantas tanpa perlu memasuki premis.
“Pelbagai masalah mampu diatasi dengan pendigitalan yang dilaksanakan ini, malah akan menjadi platfrom pemasaran tepat buat setiap premis perniagaan berlesen di Melaka.
“Dengan myPATIL penguat kuasa boleh menjejak premis dalam lingkungan 100 meter tanpa perlu memasuki premis untuk memeriksa pengesahan lesen.
“Malah mereka juga boleh mengeluarkan kompaun digital buat pesalah, semakan kompaun tamat tempoh, serta pelbagai lagi,” katanya.
Katanya, diiktiraf sebagai Syarikat Bumiputra Berprestasi Tinggi (TeraS), pihaknya juga komited memperluaskan sistem tanpa tunai di negeri ini sebagai kemudahan yang perlu dimiliki rakyat dalam menjalani kehidupan norma baharu.
“Kami sedia bekerjasama dengan seluruh belia Melaka bagi memperkasakan sistem tanpa tunai di negeri ini.
“Ini termasuklah diperluaskan sehinggalah ke perniagaan peringkat penjaja dan trak makanan khususnya dalam kawasan luar bandar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.