Sorting by

×

Melaka negeri pertama tawar sistem kaptif insurans

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KUALA LUMPUR 15 Februari – Melaka menjadi negeri pertama yang menawarkan sistem kaptif insurans dan takaful dengan pelancaran PM Protected Cell Company Ltd (PM PCC Ltd) secara rasmi hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, PM PCC Ltd yang ditubuhkan pada 25 Januari lalu di bawah Perbadanan Melaka Holding (PMH) Sdn. Bhd. membuka lembaran baharu dalam pelaksanaan polisi insurans dan takaful.

Sulaiman berkata kaptif insurans dan takaful terbabit memberi peluang kepada organisasi atau syarikat merancang keperluan insurans, merangka polisi perlindungan pada kadar premium yang holistik.

“Organisasi ini bertindak dan beroperasi seperti syarikat takaful persendirian atau kaptif, menggunakan kepakaran peringkat global dan menawarkan insurans yang lebih kompetitif.

“Peranan PM PCC Ltd adalah sebagai pengurus kepada agenda yang menjalankan kajian semula risiko polisi insurans yang pastinya akan membawa pulangan kepada pihak berminat.

“Ini akhirnya akan menentukan keperluan kaptif insurans di setiap organisasi ditambah baik dengan perlindungan yang lebih besar dan menyeluruh disamping menjimatkan kos premium semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran PM PCC Ltd di sebuah hotel di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Barisan Exco Kerajaan Negeri, Pengerusi PM PCC Ltd, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan dan Pengarah PM PCC Ltd Ainshah Osman.

Terdahulu Sulaiman turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PM PCC Ltd dan beberapa syarikat berkenaan bertujuan memperkenal sistem itu kepada organisasi mereka.

Selain itu beliau meminta semua agensi Kerajaan Negeri dan Badan Berkaitan Kerajaan agar merangka semula perlindungan yang digunakan menggunakan kepakaran PM PCC Ltd.

“Kita harap dalam tahun ini semua agensi Kerajaan Negeri dan organisasi terlibat dapat merujuk semula kepada syarikat ini bagi mendapat perlindungan yang efektif dan cekap,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3871
Kongsi :
Previous post Tiada gempa bumi dikesan di Sabah, Sarawak – MetMalaysia
Next post Pembangunan, kebajikan rakyat fokus Ban Hong
Ubah saiz-+=