Sorting by

×

MELAKA NEGERI PERTAMA PERKENAL MODUL TERAPI MEMANCING ‘FISH ON’

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

MERLIMAU 27 November – Pusat Kokurikulum Melaka mencipta sejarah apabila menjadi yang pertama di Malaysia memperkenalkan Modul Terapi Memancing ‘Fish On’ khusus untuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBK).

Ia sekali gus menjadi Pusat Kokurikulum Mesra Orang Kurang Upaya (OKU) pertama di Malaysia.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kewujudan pusat dan modul tersebut menunjukkan keprihatinan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Kerajaan Negeri terhadap keperluan pendidikan khas yang inklusif.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberi akses kepada pembelajaran yang lebih responsif, tetapi juga memperkukuh potensi murid dalam aspek sosial, emosi, dan kognitif melalui pendekatan holistik,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pusat Ko Mesra OKU dan Modul ‘Fish On’ Terapi Memancing Pendidikan Khas di Pusat Kokurikulum Lanchang Merlimau, di sini.

Whatsapp Image 2024 11 27 At 14.05.42
MODUL Terapi Memancing ‘Fish On’ diperkenalkan khusus untuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas.

Program itu dianjurkan Pusat Kokurikulum Melaka dengan kerjasama Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim dan Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Karim Tumin memaklumkan, Modul ‘Fish On’ yang diperkenalkan turut menyokong Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM), yang mengaplikasikan aktiviti memancing sebagai medium pembelajaran berasaskan pengalaman.

“Ia bukan sekadar aktiviti rekreasi, tetapi membina keyakinan diri, disiplin, dan kemahiran hidup berdikari murid,” ujarnya.

Majlis tersebut turut memberi penghargaan kepada pihak yang bersama menyumbang kepada kejayaan program itu termasuklah Jabatan Perikanan Negeri Melaka, TCE Tackle Sdn. Bhd, PIBG SMK Malim, Majlis Muafakat Ibu Bapa PPKI SMK Malim dan komuniti setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post JKR MELAKA KENAL PASTI 4 JALAN ‘HOTSPOT’ BANJIR KILAT
Next post 5,500 PESERTA PROMOSI TRADISI MELAKA MELALUI LARIAN BUDAYA ANTARABANGSA DUYONG KITA 2024
Ubah saiz-+=