Melaka negeri pertama perkenal ‘mini ambulans’

Masa Membaca:2 Minit, 29 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 Julai – Saiznya yang kecil dan dilengkapi dengan katil pesakit menjadikan mini ambulans yang disediakan di Stesen Rawatan Kecemasan (First Aid Station) di Zon Bebas Kenderaan, Banda Hilir mencuri perhatian pengunjung yang ke kawasan itu.

Malah kehadiran kenderaan elektrik itu atau digelar sebagai Perkhidmatan Kesihatan Acara membuatkan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk bergambar.

Penyelaras Paramedik Komuniti Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir, Saiful Nizam Sairi berkata, perkhidmatan mini ambulans itu baru sahaja kira-kira sebulan beroperasi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong atau pengunjung yang berdepan dengan masalah kesihatan ketika berkunjung ke kawasan itu.

Katanya, mini ambulans itu akan diletakkan di Stesen Rawatan Kecemasan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Dengan adanya mini ambulans ini ia secara tidak langsung meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan yang diberikan malah amat bersesuaian kerana lebih ‘eco friendly’.

“Paling utama dengan menempatkan kenderaan ini di Zon Bebas Kenderaan ia amat memudahkan pergerakan berbanding ambulans biasa yang saiznya lebih besar selain tidak mengganggu keselamatan pengunjung.

“Mini ambulans ini baru beroperasi hampir sebulan dan ia adalah sumbangan daripada individu kepada kami dalam memberikan perkhidmatan kecemasan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Saiful Nizam yang juga Ketua Jabatan Perubatan St. John Ambulance Malaysia Kawasan Melaka Tengah berkata, selain katil perubatan, mini ambulans itu lengkap dengan kelengkapan kecemasan termasuk peralatan defibrilator luaran automatik (AED).

“Disebabkan saiznya yang kecil, dalam satu masa mini ambulans ini hanya mampu memuatkan dua orang petugas kesihatan dan seorang pesakit sahaja yang masa ia dikendalikan oleh petugas khas dengan dibantu oleh Paramedik Komuniti.

“Menariknya juga, mini ambulans ini turut dilengkapi pembesar suara, siren dan beacon light. Apabila kita menerima panggilan kecemasan siren akan dibunyikan seperti ambulans diluar sana sebagai ‘alert’ untuk orang ramai memberi laluan.

“Sesuai dengan lokasinya, had kelajuan untuk mini ambulans ini antara 30 hingga 35 kilometer sejam (km/j) sahaja. Bersama-sama ambulans mini adalah pasukan berbasikal yang akan melakukan rondaan berkala di Zon Bebas Kenderaan,” katanya.

Whatsapp Image 2024 07 18 At 18.25.50
MINI ambulans pertama diperkenalkan di kawasan Zon Bebas Kenderaan.

Menurutnya, dengan adanya mini ambulans ini juga ‘respond time’ lagi cepat berbanding menggunakan ambulans biasa di kawasan orang ramai itu.

“Untuk mini ambulans ini juga ia berhubung juga dengan ‘panic button’ yang dipasang di sekitar kawasan Zon Bebas Kenderaan jadi apabila ia ditekan tanda berlakunya kecemasan kami akan keluar untuk memberi bantuan.

“Contohnya, pada program Bila Larut Malam baru-baru ini kita ada menerima satu kes apabila ada pengunjung berdepan dengan masalah kesihatan dan respond time direkodkan kami bawah lima minit,” katanya.

Jelasnya, Melaka adalah negeri pertama di negara ini yang memperkenalkan ambulans mini selain pihaknya juga kini dalam perancangan untuk menambah baik dan mengadakan kolaborasi bersama beberapa hospital swasta dalam menganjurkan aktiviti pendidikan kesihatan bersama orang ramai di kawasan itu.

“Buggy ini adalah sumbangan perseorangan individu untuk digunakan oleh pasukan St. John Ambulance dan kemudiannya diubah suai lalu dijadikan mini ambulans, mewakili pihak yang lain saya mengucapkan terima kasih atas sumbangan ikhlas ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

383
Kongsi :
Previous post Rakyat Melaka rafak sembah tahniah pertabalan Agong
Next post Malaysia saksi Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini
Ubah saiz-+=