Melaka negeri perintis ekosistem digital
AYER KEROH 12 Oktober – Melaka bakal menjadi negeri pintar pertama di Malaysia yang menjadikan ekosistem digital sebagai tumpuan utama dalam segala aspek pembangunannya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penumpuan ekosistem digital dalam setiap sektor termasuk perindustrian, pertanian, pendidikan, kesihatan, pembuatan, pengangkutan pintar dan pelancongan antara aspek utama bagi membantu merancakkan pembangunan perniagaan serta industri di negeri ini.
Katanya, hasrat terbabit akan dilaksanakan menerusi beberapa inisiatif dalam Blueprint Smart Melaka 2035.
“Kita akan menjadikan Melaka sebagai negeri pertama di negara ini dan sebagai negeri perintis mendigitalkan segala aspek.
“Ia termasuklah setiap aspek statistik masyarakat bagi memastikan pelbagai ruang dan peluang kerjaya ditawarkan menerusi satu pengkalan data yang cukup baik. Inisiatif ini akan memberikan peluang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Persidangan Antarabangsa dan Ekspo Smart Melaka 2023 (SMIX2023) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings (MITCH) Sdn. Bhd. Dr. Nazdiana Ab Wahab, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Terdahulu, SMIX2023 berlangsung selama empat hari bermula hari ini membabitkan pelbagai program menarik seperti Expo Antarabangsa SMIX2023, Perbincangan Meja Bulat antara pelbagai agensi bersama Ketua Menteri, Karnival Kerjaya My Future Jobs Perkeso, Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Melaka dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Selatan serta pelbagai lagi.
Expo Antarabangsa SMIX2023 yang berlangsung di Dewan B MITC melibatkan kira-kira 100 agensi dan syarikat pendigitalan negara yang mempamerkan pelbagai peluang serta produk dihasilkan dalam industri digital.
Sementara itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri memberi sokongan penuh bagi penganjuran seperti itu bagi memperluaskan pendidikan digital khususnya kepada generasi muda.
“Saya amat tertarik dengan pendidikan dan pendedahan mengenai digital diberikan kepada generasi muda. Pelbagai pertandingan dianjurkan seperti robotik dan pencetakan tiga dimensi, sekali gus menunjukkan inisiatif kreatif baharu kepada golongan ini dan apa yang dikongsikan menepati kehendak dunia digital yang lebih hebat pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.