Sorting by

×

Melaka mungkin kembali ke Liga Super

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDA HILIR 17 Disember – Melaka mungkin kembali ke kancah saingan Liga Super selepas Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) mengesahkan akan mengadakan rundingan bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Menjelaskan perkara itu, Presiden MAFA Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha tersebut adalah bertujuan untuk mengangkat kembali martabat sukan bola sepak di negeri ini.

Menurut Ab Rauf, barisan kepimpinan MAFA yang baharu dilantik bakal mempersiapkan kerangka terbaik dalam usaha memulihkan kembali sukan bola sepak menjelang ulang tahun ke-100 MAFA tahun depan.

“Dengan pasukan baharu ini dan menjelang ulang tahun ke-100 MAFA, kerangka ini akan menjadi objektif kita untuk kembali semula ke Liga Super menerusi rundingan bersama MFL.

“Tetapi semua itu bergantung kepada kelulusan serta syarat yang diletakkan pentadbir Liga Malaysia itu, selain tempoh masanya juga akan ditentukan sendiri oleh mereka.

“Di peringkat MAFA, kita akan mencari rakan kongsi terbaik dan diharap dengan kewujudan rakan kongsi ini ia dapat merealisasikan misi kita untuk kembali ke Liga Super,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kongres MAFA Ke-67 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum.

Pada kongres itu, MAFA telah mengumumkan beberapa nama baharu yang mengisi barisan jawatankuasa eksekutif baharu bagi tahun 2023 hingga 2026.

Antaranya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) Datuk Mohd Saiful Mat Sapri dilantik sebagai Timbalan Presiden MAFA bagi menggantikan Datuk Wira Mohd Yusof Mahadi.

Manakala jawatan Naib Presiden pula disandang Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Datuk Fadzil A Bakar; Datuk Khairi Anuar Ahmad dan Datuk C Revindran.

Barisan Ahli Eksekutif pula menampilkan gandingan muka lama dan baharu. Mereka adalah Mohd Azizi Shahril Abd Razak Khalim; Jezlee Pit; Dr Shankar Gunarasa; Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah; Mohd Fairuz Azwad Mohd Zauwawi; Ahmad Khairul Mohd Noor; Melvin Tan Ching Yang dan Syahrul Nizam Shamsuddin.

Sementara itu, Ab Rauf ketika berucap dalam kongres berkenaan meminta semua pihak berkepentingan, termasuk kelab-kelab gabungan untuk bersama-sama berganding bahu dalam menyumbang idea atau formula baharu untuk memajukan bola sepak di negeri ini.

Beliau berkata, MAFA akan terus mengamalkan pendekatan terbuka dalam memastikan kemenjadian sukan nombor satu rakyat itu dimartabatkan ke peringkat tertinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2587
Kongsi :
Previous post Empat jeti di DUN Ayer Limau sedia terima pelancong
Next post Kes langgar pelajar: Polis sedang lengkapkan siasatan, minta pihak ada bukti untuk tampil
Ubah saiz-+=