Sorting by

×

Melaka muncul pengeluar ikan keli, telur terbesar negara

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 24 JUN – Walaupun negerinya kecil, namun Melaka kini muncul sebagai antara pengeluar produk pertanian terbesar di negara ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu dibuktikan menerusi penternakan ikan keli dan telur ayam di negeri ini yang menjadi antara terbesar di Malaysia.

Menurutnya, contoh paling dekat ialah pengeluaran telur ayam, yang mana Melaka berjaya mencatat pengeluaran 9 juta biji telur ayam dalam sehari, sekali gus meletakkan nilai keseluruhan sektor tanaman unggang berjumlah RM1.8 bilion setahun.

“Dalam sektor pertanian tanaman pula telah mencatatkan nilai pengeluaran keseluruhan berjumlah RM80 juta pada tahun lalu, yang terdiri dari buah-buahan, padi, sayur-sayuran dan tanaman industri.

“Selain itu, Melaka juga berpotensi menjadi penyumbang terbesar pengeluaran kerang melalui pelaksanaan Projek Ternakan Zon Industri Akuakultur (ZIA) Sebatu dengan keluasan 550 hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Melaka AgroFest 2023 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, hari ini.

Majlis itu telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, barisan-barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka juga, pelbagai program jualan terus dari ladang telah diadakan di negeri ini.

Katanya, ia dapat dilihat menerusi penganjuran Melaka Agro Market (MAM) dan Program ‘Souq Subuh’ atau Pasar Subuh yang menawarkan hasil tani dengan harga 30 peratus lebih rendah dari pasaran.

“Sehingga hari ini, nilai jualan program ini telah mencatat nilai RM2.5 juta dan memanfaatkan sehingga 100,000 pengguna di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1984
Kongsi :
Previous post Tanah terbiar jadi kawasan pertanian berteknologi tinggi – KM
Next post Jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah Isnin ini
Ubah saiz-+=