Sorting by

×

Melaka mohon tambahan RM8 juta naik taraf pembetung silang

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER LIMAU 6 Ogos – Kerajaan Negeri sedang menunggu peruntukan tambahan bernilai RM8 juta bagi kerja-kerja pemasangan pembetung silang (crossing culvert) bagi mengatasi banjir kilat di sekitar Negeri Melaka.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pemasangan pembetung silang itu adalah merupakan perancangan jangka masa panjang bagi mengatasi isu banjir kilat di negeri ini.

Menurut beliau, peruntukan tambahan kepada Kerajaan Persekutuan telah dimohon dan kini masih dalam proses menunggu, dan sebagai langkah untuk jangka masa pendek, pihaknya akan mengarahkan kerja-kerja pembersihan tali air dilakukan

“Kita sedang mencari jalan untuk penyelesaian jangka masa pendek untuk mengatasi isu banjir kilat di sekitar negeri khususnya di lokasi ‘hotspot’ di Lebuh Ayer Keroh dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).

“Perbincangan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah dilakukan dan kita bercadang untuk mana-mana tali air di lokasi berkaitan untuk dibersihkan sebelum masuk musim monsun.

“Ini kerana kebanyakan kawasan hotspot ini akan banjir apabila hujan lebat tidak melebihi tempoh dua jam dan air bertakung di mana kita kenal pasti pembetung silang di kawasan terbabit kecil dan tidak dapat menampung air hujan yang dibawa dari tempat tinggi (atau bukit),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Hameed berkata pihaknya memberi tumpuan penuh untuk menyelesaikan isu banjir di kawasan-kawasan terpencil.

Jelasnya, sebagai contoh di Kampung Sungai Jerneh yang tidak pernah banjir, namun ditimpa banjir kilat baru-baru ini.

“Jadi kita ambil inisiatif untuk memasang pembetung silang lebih besar, berikutan banjir menimpa Sungai Jerneh disebabkan kesan dari Projek Empangan Jerneh yang dalam pembinaan.

“Antara lokasi lain yang akan terlibat dengan pemasangan pembetung lebih besar adalah di kawasan Ramuan China Besar yang menjadi antara lokasi hotspot banjir kilat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

145
Kongsi :
Previous post MPJ kompaun kafe, pusat hiburan sekitar Jasin
Next post SUKMA: Melaka sasar lima pingat dari sukan angkat berat
Ubah saiz-+=