Melaka mohon sebahagian tapak warisan dikecilkan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KLEBANG 14 Julai – Kerajaan Negeri sedang mengkaji dan menilai kemungkinan untuk memperkecilkan sebahagian kawasan tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara tersebut perlu dilakukan demi pembangunan Melaka pada masa hadapan.

Untuk itu, kata beliau, Kerajaan Negeri akan mengutus surat kepada UNESCO bagi membincangkan cadangan tersebut.

“Perkara ini perlu dilakukan memandangkan sebahagian kawasan bagi projek Straits Of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) berada dalam kawasan (tapak) warisan itu.

“Sebahagian kawasan ini memerlukan kemajuan dan kita berharap kawasan warisan ini tidak menghalang pembangunan masa depan yang sedang kita rangka.

“Kita akan mengutuskan surat, namun semuanya tertakluk kepada keputusan daripada UNESCO nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Melaka Heritage Festival 2024 Sempena Ulang Tahun Ke-16 Melaka Bandaraya Warisan Dunia – UNESCO, di Encore Melaka, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad; Duta Besar Indonesia Ke Malaysia Datuk Indera Hermono serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Yang turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah serta lain-lain kenamaan.

Pada majlis itu, Ab Rauf dan isteri Datin Seri Utama Zuriyah Ab. Aziz bersama lebih 500 penonton menyaksikan pementasan Teater Muzikal Hikayat Hang Tuah ‘Ampun Tuanku, Titah Dijunjung’ di panggung teater berpusing 360 darjah pertama dalam negara itu.

Teater berdurasi lebih satu jam itu dibintangi pelakon terkenal tanah air seperti Remy Ishak, Zul Huzaimy dan Ashraf Muslim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

944
Kongsi :
Previous post Teater Muzikal Hikayat Hang Tuah pukau penonton
Next post Hampir 5,000 pengunjung ke lapan produk pelancongan Bila Larut Malam
Ubah saiz-+=