Sorting by

×

Melaka mohon RM10j bina Kompleks Ilmu Kampung Tehel

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TEHEL 25 Sept. – Melaka bercadang membina sebuah kompleks ilmu bernilai RM10 juta di Kampung Tehel, di sini yang akan dimasukkan dalam bawah Rolling Plan Kedua atau Ketiga Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, cadangan menamakan Kompleks Ilmu Kampung Tehel itu akan dilengkapi kemudahan masjid, perpustakaan dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Menurutnya, ketika ini sebuah masjid telah pun hampir siap dibina yang dijangka siap akhir tahun ini menggunakan peruntukan sebelum ini bernilai RM4.5 juta bersebelahan SRA Tehel sedia ada yang dibina pada 1975.

“Pembinaan masjid berkenaan hari ini saya lihat ianya sudah 84 peratus siap dan yakin ia boleh disiapkan akhir tahun ini

“SRA JAIM Tehel pula, kalau dapat (dibina) SRA baharu di atas tanah milik JAIM di dalam kawasan sama dengan masjid dan saya yakin ia akan menjadi satu kompleks ilmu.

“Ia akan dekat dengan masjid, sekolah dan perpustakaan baharu yang mana mungkin keseluruhannya Kompleks Ilmu Kampung Tehel ini, nama setakat ini yang dicadangkan akan melibatkan kos RM10 juta,” katanya.

SULAIMAN Md Ali

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) Program Lawatan Ziarah Kasih sekitar Tehel bagi mendekati masyarakat kampung bersama beberapa pemimpin rakyat dan agensi negeri.

Program dimulakan dengan kuliah dan solat Subuh berjemaah di Masjid Al-Hakeem, Kampung Tehel, sebelum diteruskan dengan penyampaian sumbangan kit makanan kepada beberapa penerima.

Hadir sama dalam program berkenaan Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan I merangkap Ahli Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Wira Ghazale Mohamad.

 

SULAIMAN (kanan) melihat keadaan kesihatan Mokhtar Rozaini Idris (kiri)
pada Program Lawatan Ziarah Kasih sekitar Tehel di sini hari ini.

ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat, Pegawai Daerah Jasin, Rahizi Ranom, Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri, Datuk Muhamad Ahyad Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, beliau telah meminta pegawai daerah dan wakil rakyat kawasan membuat permohonan segera peruntukan itu yang akan dipanjangkan kepada kerajaan Pusat untuk dimasukkan di dalam RMK-12.

“Unit Pembangunan negeri akan membuat permohonan mungkin dalam RMK-12 pada Rolling Plan Kedua atau Ketiga,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1261
Kongsi :
Previous post KM ziarah kasih masyarakat Tehel
Next post Sektor pelancongan kena bersedia pada bila-bila masa – KM
Ubah saiz-+=