Melaka mohon peruntukan tambahan RM5 juta projek skim pengairan sawah di Bukit Rambai
JASIN, 17 Mei – Melaka memohon peruntukan tambahan kira-kira RM5 juta kepada Kementerian Kewangan bagi pelaksanaan projek skim pengairan sawah padi di Bukit Rambai yang menjadi projek bagi penyelesaian jangka panjang dalam membekalkan sumber air dan menghadapi musim kemarau.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata setakat ini kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak RM18 juta bagi membiayai projek berkenaan namun kos itu dilihat meningkat selepas pengiraan semula dilakukan termasuk urusan pengambilan tanah.
“Kita sedang usulkan bajet tambahan untuk projek ini kerana kiraan asal tidak melibatkan kawasan tanah yang perlu diambil disebabkan terdapat saliran yang perlu dilencongkan di kawasan berkenaan.
“Projek ini dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini dalam memastikan sumber air yang secukupnya dapat dibekalkan di kawasan sawah padi Bukit Rambai ini kelak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menyempurnakan program International Volunteerism sempena Program Global Wellness Leadership Week anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Merlimau.
Akmal berkata kerja-kerja menaik taraf di kawasan sawah Bukit Rambai itu juga melibatkan pembinaan sistem pengairan dan saliran, sistem saliran pertanian, jalan ladang dan infrastruktur pengairan berkaitan.
Sebelum ini kerajaan negeri telah mengusahakan projek membina satu pam air di kawasan berkenaan untuk membekalkan air namun masih tidak mencukupi kerana lokasi itu memerlukan kapasiti air yang sangat banyak terutama ketika cuaca panas kering.
“Apabila berlaku perubahan iklim dan suhu terutamanya berdepan cuaca kering serta panas berpanjangan ia sering membimbangkan petani serta pesawah kerana akan berdepan kekurangan sumber air yang boleh menjejaskan tanaman mereka.
“Fenomena cuaca ini di luar kawalan namun kerajaan negeri sentiasa berusaha mengambil inisiatif untuk membantu golongan petani seperti menaik taraf sistem pengairan termasuk memberi bantuan benih padi kepada pesawah,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.