Melaka mohon 28 SRA baharu
PENGKALAN BATU 19 April – Kerajaan Negeri memohon sebanyak 28 buah sekolah rendah agama (SRA) baharu bagi keperluan untuk menampung pertambahan bilangan murid dari tahun ke tahun.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, permohonan itu dibuat kepada Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan ia masih menunggu kelulusan.
“Kita sentiasa membuat permohonan baharu untuk SRA di Melaka ini, setakat ini sebanyak 28 buah permohonan dibuat dan masih menunggu kelulusan malah kebiasaannya kita hanya akan dapat kelulusan dalam satu hingga dua unit setahun.
“Jadi kita perlu bersabar, kesemua 28 permohonan ini dibuat bagi pembinaan di ketiga-tiga daerah di seluruh Melaka untuk menampung keperluan permintaan murid. Namun kita juga melihat kepada keperluan yang betul-betul mendesak dan akan diberi keutamaan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Kassim, di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, semalam.
Menurut Rahmad, kemudahan prasarana dan fasiliti di SRA JAIM sedia ada juga sentiasa diberi perhatian serta selalu dalam pemantauan pihaknya bagi memastikan murid berada dalam keadaan selesa sewaktu sesi pembelajaran.
“Kita sentiasa mengambil berat berhubung fasiliti dan prasarana SRA JAIM ini malah sentiasa ada program dan bajet tahunan membabitkan SRA JAIM ini.
“Sementara permohonan sekolah baharu diluluskan kita gunakan bangunan sedia ada termasuk menggunakan bangunan di sekolah kebangsaan (SK),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.