Melaka miliki 21 Kelab Falak dan Astronomi

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

TANJUNG BIDARA 14 Ogos – Sebanyak 18 buah sekolah di Negeri Melaka telah menubuhkan Kelab Falak dan Astronomi setakat tahun ini.

Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding hanya lima sekolah sahaja mewujudkan kelab itu pada 2017.

Tambah beliau, kelab berkenaan kini mula diperluaskan di institusi pengajian tinggi (IPT) apabila tiga IPT telah menyahut seruan untuk penubuhan Kelab Falak dan Astronomi itu.

“Bermula pada tahun 2017 hanya lima sekolah menubuhkan kelab ini, pada tahun 2022 ia bertambah kepada 15 sekolah dan kemudian penambahan tiga sekolah lagi menjadikan jumlah keseluruhan 18 sekolah.

“Terkini kelab ini diperluaskan kepada tiga IPT iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Politeknik Merlimau Melaka (PMM) dan Politeknik Melaka (PMK),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutup Kursus Asas Falak Syarie Universiti Islam Melaka (UNIMEL) di Dewan Hamal Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, semalam.

Hadir sama Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora; Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri Melaka merangkap Pensyarah UTeM, Dr. Radzuan Nordin dan lain-lain kenamaan.

Terdahulu, kursus berkenaan disertai seramai 40 orang peserta daripada Fakulti Keilmuan Islam UNIMEL yang terdiri daripada para pensyarah dan kakitangan.

Kursus itu diadakan selama dua hari, berakhir 14 Ogos dengan pengisian slot berkaitan bidang falak, lawatan galeri pameran, cerapan langit malam dan lain-lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

130
Kongsi :
Previous post Rumah sewa terbakar, lima termasuk kanak-kanak terselamat
Next post Politeknik Melaka pilihan pelajar OKU
Ubah saiz-+=