Melaka meriah 2024!

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

KUALA LUMPUR 15 Julai – Penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bukan sekadar mahu mempromosikan bidang pelancongan, sebaliknya sektor pendidikan, kesihatan dan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, TMM2024 akan digunakan untuk mempromosikan universiti beroperasi di negeri ini, sekali gus meningkatkan lagi industri pendidikan tinggi.

Jelasnya, pelabur akan dibawa untuk melihat lokasi strategik dan berpotensi di negeri ini, manakala bagi sektor kesihatan Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan pusat perubatan swasta.

Ab Rauf berkata, sepanjang 2024, bumi Melaka akan meriah dengan penganjuran pelbagai acara bertaraf nasional dan antarabangsa.

Katanya, Sungai Melaka Fasa 2 akan dimeriahkan dengan penganjuran Hari Memancing Negeri Melaka dan pertandingan memasak ikan air tawar.

“Kita juga akan anjurkan Minggu Jerman pada 24 hingga 26 Mei yang bertujuan untuk mempromosikan pelbagai produk industri dari negara itu.

“Pada 24 hingga 30 Jun pula akan berlangsung Melaka Marathon, sementara pada 14 dan 15 September pula diadakan Festival Layang-Layang Gergasi Melaka.

“Sebelum ini ramai ke Turkiye untuk merasai pengalaman menaiki ‘Hot Air Balloon’, (belon udara panas) selepas ini tarikan itu akan ada di Negeri Melaka ,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Jalan Ampang, di sini, malam tadi.

Pelancaran TMM2024 disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum.

Turut Hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman bersama timbalan beliau Datuk Zaidi Attan, barisan Exco, Timbalan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Melaka.

IMG_20230715_023131_666
Persembahan artis dan kumpulan Briged Seni turut memeriahkan Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Zamri Mat Zain, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar, pesuruhjaya tinggi dan duta negara asing ke Malaysia temasuk Duta China serta Belanda.

Selain itu Ab Rauf, memaklumkan selain merancakkan sektor industri Negeri Melaka, TMM2024 turut adalah medan paling sesuai untuk mempromosi serta menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2025.

Majlis pelancaran gilang-gemilang itu dimeriahkan dengan pelbagai persembahan tradisional Negeri Melaka dan persembahan artis seperti Datuk Amy Search, Datuk Hattan dan Haziq Rosebi.

Pada majlis sama Ab Rauf turut melancarkan maskot dinamakan Tuah dan Teja selain lagu rasmi TMM 2024 bertajuk ‘Jom Ke Melaka’.

Bersempena pelancaran itu turut berlangsung Festival TMM 2024 selama tiga hari bermula semalam hingga esok di lokasi sama.

Festival itu bertujuan untuk mempromosikan pelbagai produk pelancongan, makanan dan kebudayaan Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3173
Kongsi :
Previous post Lelaki maut, isteri parah nahas tiga kenderaan
Next post Tambah peruntukan jayakan TMM2024
Ubah saiz-+=