Sorting by

×

Melaka mengundi esok tentukan kerajaan negeri

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 19 Nov – Hampir setengah juta rakyat Melaka layak keluar mengundi esok dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menentukan kerajaan negeri setelah 12 hari berkempen dalam norma baharu.

PRN ini, yang berjalan dalam keadaan pasca pandemik, menarik perhatian seluruh negara kerana ia dilihat sebagai “ujian populariti” bagi Barisan Nasional (BN) dan dua pencabar utamanya – Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Setelah 12 hari berkempen, persaingan sengit merebut 28 kerusi kelihatan lebih bertumpu di antara BN dan PN – yang masing-masingnya mahu menarik sokongan majoriti pengundi Melayu yang sebelum ini merupakan pengundi tradisional UMNO.

UMNO, yang menguasai 13 daripada 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada PRU14 pada Mei 2018, disifatkan sebagai “favourite” untuk memenangi PRN kali ni untuk BN.

Tetapi BN Melaka kali ini terpaksa bekerja lebih keras kerana ditentang oleh PN, yang diterajui oleh BERSATU serta PAS dan Gerakan, walaupun PN adalah sebahagian daripada Kerajaan PN/BN di Putrajaya.

Sudah tentu, keputusan PRN Melaka akan mempunyai implikasi besar di Pilihan Raya Umum (PRU), yang dijangka diadakan tahun depan.

Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, calon BN DUN Lendu dan bakal calon Ketua Menteri BN, mengajak para pengundi untuk memilih kerajaan yang stabil dan yang dapat menentukan sejuta rakyat Melaka menikmati mutu hidup yang lebih baik.

“BN kita menjanjikan bulan dan bintang jika terus diberikan mandat baharu esok,” katanya. Sulaiman berkata manifesto BN adalah lebih realistik dan “workable” demi kestabilan dan kemakmuran rakyat Melaka.

PN, yang mahu bertapak di Melaka dan mahu dilihat sebagai alternatif serius kepada BN di peringkat nasional, menggunakan PRN ini untuk menyerang kedua-dua BN dan PH.

Mantan Perdana Menteri dan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika melancarkan manifesto PN yang berteraskan pembangunan ekonomi dan prihatin rakyat, menegur para pemimpin UMNO yang menjadi punca kejatuhan kerajaan Melaka yang mengakibatkan PRN.

Bagaimanapun, kejutan PN untuk menawarkan calon PN untuk DUN Tanjong Bidara Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri PN dijangka dapat menarik sedikit sebanyak undi simpati di kalangan pengundi wanita di Melaka.

BN mengemukakan Sulaiman sebagai calon Ketua Menteri sementara PH pula menamakan Adly Zahari, Ketua Menteri Melaka selama 22 bulan semasa zaman pemerintahan PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya menjangka 70 peratus pengundi berdaftar akan keluar mengundi.

Dalam PRU 14, Bersatu hanya memenangi dua kerusi DUN berbanding Umno (13 kerusi), Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) dua kerusi, dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) lapan kerusi.

Gandingan Bersatu dan PAS dalam PRN Melaka dilihat memikat lebih ramai undi Melayu negeri ini. Bagaimanapun, PAS tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat di Melaka.

Sejumah 28 kerusi DUN dipertandingkan dengan 495,196 pengundi berdaftar. Sebanyak 48.5 peratus adalah pengundi lelaki dan 67 peratus adalah pengundi di bawah usia 50 tahun.

Keputusan rasmi PRN dijangka diketahui malam esok.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

808
Kongsi :
Previous post Kes COVID-19 di Melaka menurun
Next post Saya dan isteri dijadikan sasaran propaganda politik – Najib
Ubah saiz-+=