Melaka menggamit kaki pancing seluruh negara
KUALA LINGGI 28 Julai – Melaka bukan sahaja terkenal sebagai negeri pelancongan yang kaya dengan sejarah dan warisan, bahkan ia kini turut menjadi destinasi tumpuan utama kaki pancing dari seluruh negara.
Ia dapat dilihat menerusi penganjuran pertandingan memancing yang kerap diadakan di pantai-pantai peranginan di negeri ini, sekali gus membantu meningkatkan jumlah kehadiran pelancong bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Terbaharu, Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka telah menganjurkan Pertandingan Memancing Pra-Terbuka Melaka 2024 bertempat di Pantai Sungai Tuang, Telok Gong, di sini, yang menghimpunkan lebih 500 kaki pancing dari seluruh negara.
Pertandingan itu telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Menurut Rosli, pertandingan memancing itu merupakan sebahagian daripada kempen pelancongan di bawah subsektor pelancongan sukan yang disediakan BPP Negeri Melaka bersempena TMM2024.
Ujar beliau, selain menarik kehadiran kaki pancing, acara itu juga secara tidak langsung dapat mempromosikan pantai peranginan di kawasan Kuala Linggi dan Tanjung Bidara yang terkenal sebagai ‘Golden Sand’.
“Alhamdulillah, kita melihat banyak acara memancing telah diadakan di sini dan mendapat sambutan cukup hebat kerana saya difahamkan bukan hanya penduduk tempatan, bahkan ia disertai pemancing dari luar Melaka seperti Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Saya amat berharap pantai yang ada di sini dapat dijadikan antara destinasi melancong sambil memancing yang terkenal di negara ini, sekali gus menggamit lebih ramai pengunjung dan pelancong ke Melaka.
“Saya juga menyeru penduduk tempatan mengambil kesempatan daripada acara pelancongan seperti ini dengan berniaga dan mempromosikan perniagaan masing-masing agar mereka boleh mendapat limpahan manfaat daripadanya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, Rosli yang mewakili Ketua Menteri telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Memancing Pra-Terbuka Melaka 2024.
Hadir sama, Pengurus Besar BPP Negeri Melaka Sa’ari Basiron dan Setiausaha Majlis Perbandaran Alor Gajah Radzyma Mahat.
Johan menjadi milik anak jati Kuala Linggi yang menaikkan tangkapan ikan malong seberat 1.250 kilogram (kg), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.
Naib juara pula menaikkan spesies ikan sembilang seberat 0.780kg yang membawa pulang RM3,000, manakala tempat ketiga dengan ikan senangin seberat 0.745kg dan hadiah kemenangan RM1,000.
Pertandingan memancing selama empat jam bermula 8.30 pagi itu turut mendapat kerjasama Wak Jali Event Management.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.