Melaka mantapkan 67 jurulatih SUKMA
DURIAN TUNGGAL 22 Januari – Seramai 67 jurulatih Sukan Malaysia (SUKMA) Melaka menyertai Kursus Kejurulatihan Sukan Berprestasi Tinggi: Periodisasi Sukan sempena Sukan Malaysia XXI, Sarawak 2024, pada 20 Januari lalu (Sabtu).
Kursus selama sehari yang diadakan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, itu merupakan antara persiapan awal yang dilakukan menjelang temasya SUKMA XXI Sarawak yang bakal berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata, kursus membabitkan jurulatih daripada 37 jenis sukan itu juga dirangka bagi memantapkan aspek kejurulatihan yang menjadi nadi kepada kekuatan dan kecekapan atlet.
Menurut beliau, persiapan yang teliti dan berstrategi adalah antara kunci kejayaan yang menjadi fokus utama Negeri Melaka dalam merealisasikan sasaran pingat pada temasya kali ini.
“Jurulatih memainkan peranan penting dalam mencorak strategi yang tepat demi kecemerlangan prestasi atlet. Ia adalah kunci ke arah pencapaian prestasi yang optimum.
“Periodisasi sukan yang merangkumi fasa latihan yang berbeza dan memberikan masa pemulihan yang mencukupi juga dapat memastikan atlet berada di puncak prestasi pada hari pertandingan yang mana ia turut menekankan pemulihan fizikal dan mental.
“Oleh itu, sebelum jurulatih mencorak langkah dan strategi untuk mencapai matlamat prestasi atlet, perancangan periodisasi sukan juga perlu diutamakan seperti apa yang difokuskan menerusi penganjuran kursus ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kursus berkenaan yang turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka Mohd Asri Ninggal.
Di bawah kepimpinan Mohd Asri yang juga pemegang lesen kejurulatihan Kofederasi Bolasepak Asia (AFC), MSN Melaka bertekad untuk mencapai prestasi lebih baik pada temasya SUKMA XXI Sarawak tahun ini, demi kecemerlangan dan kemenjadian sukan di bumi Hang Tuah.
Kursus yang dianjurkan itu merupakan sebahagian daripada persiapan rapi yang direncana bagi bagi memastikan atlet dan barisan kejurulatihan bersedia untuk menggalas tanggungjawab membawa pulang pingat ke Negeri Melaka.
Pada kursus berkenaan juga, setiap jurulatih yang terlibat akan membentangkan persiapan pelan latihan masing-masing yang akan diterapkan kepada atlet.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.