Sorting by

×

Melaka mampu capai ‘cashless society’ menerusi ReDI

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

MACHAP JAYA 23 Februari – Program Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) mampu menjadikan Melaka sebagai negeri masyarakat tanpa tunai atau ‘cashless society’ menjelang 2035 dengan menggalakkan peniaga sektor peruncitan dan pemborong menggunakan transaksi digital.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norena Jaafar berkata, bagi merealisasikan perkara itu satu projek rintis dilaksanakan membabitkan di kawasan luar bandar akan diberi pendedahan secara berperingkat.

Katanya, program itu sekali gus mampu mencapai hasrat negeri ini membentuk sebagai negeri ‘Melaka Digital’ menjelang 2035.

“Kita menyasarkan bermula tahun ini sehingga 2025 kesemua peniaga dari sektor ini telah mendaftarkan perniagaan mereka dengan transaksi digital yang dilaksanakan ini.

“Kita memfokuskan kepada kawasan luar bandar agar langkah ini menerima sambutan menyeluruh berikutan penggunaan transaksi digital ini telah dilaksanakan menyeluruh di kawasan bandar terutama di lokasi pelancongan di Melaka.

“Program ini akan bermula dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dan akan diperluaskan pada tahun ini juga membabitkan di Paya Rumput, Lendu dan Tanjung Bidara dan akan memastikan perkara ini akan dilaksanakan secara berterusan supaya amalan transaksi tanpa tunai ini dapat dibudayakan oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) diadakan di Dewan Kompleks Japerun Machap Jaya di sini hari ini yang disempurnakan oleh Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem.

Hadir sama, Ketua ICT Negeri Melaka (MICTH), Fauzi Elham@Alhim dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Melaka, Muhammad Luqman Ali.

photo_2023-02-23_17-30-12
Imbasan QR code bagi borang pendaftaran E-Wallet pada Taklimat Program Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya tahun 2023 di Kompleks Japerun Machap Jaya, Alor Gajah, Melaka. Foto: MR. AZLI

Dalam pada itu, Norena berkata pihaknya akan memastikan pelaksanaan dan pendedahan kepada masyarakat luar bandar berkaitan perkara itu akan dicapai berikutan meskipun terpaksa berdepan pelbagai cabaran bagi memberi keyakinan masyarakat terutama peniaga bagi melaksanakan transaksi berkenaan.

Katanya, program advokasi dan ‘outreach’ kepada peniaga akan dilaksanakan berterusan bagi memastikan budaya penggunaan transaksi atas talian termasuk e-wallet terus menjadi pilihan pengguna.

“Kita berdepan pelbagai cabaran antaranya para peniaga perlu mengambil sedikit masa untuk menerima perkara ini berikutan mereka sudah terbiasa dengan sistem jual beli fizikal, sudah terbiasa pengang duit sendiri.

“Jadi sebagai langkah pertama kita fokuskan kepada peniaga pasar malam kerana perniagaan yang mereka jalankan ini dari satu lokasi ke satu lokasi ini akan memberi pendedahan kepada peniaga yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1731
Kongsi :
Previous post CSM siasat ketirisan data peribadi pengguna MySejahtera – Fahmi
Next post Kibar bendera MPJ, MPAG di puncak Annapurna
Ubah saiz-+=