Melaka mahu wujudkan pusat kecemerlangan berteknologi tinggi
MERLIMAU 4 Mac – Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan sebuah pusat kecemerlangan teknologi tinggi dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan separuh mahir selain membantu menarik minat lebih banyak industri bertapak di Melaka.
Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bagaimanapun perlaksanaan itu akan mengambil masa selain memerlukan pelbagai kajian terperinci.
Ab Rauf berkata pusat kecemerlangan itu nanti secara tidak langsung meningkatkan lagi nilai graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mempunyai nilai yang tinggi.
“Saya bercita-cita untuk mewujudkan ‘excellence centre’ (pusat kecemerlangan) di Melaka seperti yang terdapat di Bayan Baru, Pulau Pinang. Di sana ada pelbagai syarikat bertaraf dunia.
“Wujudnya pusat ini nanti, mana-mana industri yang hendak masuk ke Melaka, tidak perlu lagi melatih tenaga kerja hingga ke luar negara. Maksudnya mereka boleh gunakan pusat ini untuk melatih pekerja berpandukan simulator.
“Contoh, setahun sebelum mana-mana kilang ingin beroperasi, tenaga kerja sudah belajar di excellence centre, mengikut keperluan operasi nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Melaka Kali-20, sidang dua yang turut dihadiri Pengarah Politeknik Melaka Sr Razali Johari di Dewan Platinum Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Industri kepada Politeknik Melaka berkata, bagi menjayakan usaha itu pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama beberapa pihak termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Bergantung kepada perbincangan saya bersama MIDA dan MITI, dalam kaedah hendak membawa syarikat-syarikat yang berteknologi tinggi ini. Kemudian kita akan bincang dalam bentuk mana boleh bekerjasama.
“Dalam usaha ke arah itu juga, saya akan berbincang bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (RnD), bagaimana sesebuah pusat kecemerlangan dapat mengamit syarikat berteknologi tinggi serta mampu mengurangkan beban mereka dalam melatih tenaga kerja,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.