Sorting by

×

MELAKA MAHU TAMBAH KAWASAN REHAT ‘ABANG RIDER’

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BANDA HILIR 15 Mac – Kerajaan Negeri akan menyediakan lebih banyak tempat rehat bagi mereka yang terlibat dalam sektor P-Hailing atau perkhidmatan penghantar makanan mengikut lokaliti sekitar Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tempat rehat tersebut akan dijadikan lokasi istirahat pekerja P-Hailing sebagai tanda perhargaan mereka yang telah bekerja bersungguh-sungguh.

Katanya, golongan P-Hailing itu turut menjadi penyumbang dalam pemangkin ekonomi negeri, justeru penyediaan tempat istirahat yang selesa itu menjadi tanda keprihatinan Kerajaan Negeri.

“Tempat istirahat P-Hailing di Dataran Pahlawan ini adalah yang pertama Kerajaan Negeri sediakan lengkap dengan fasiliti seperti tandas, surau, sofa dan penyaman udara.

“Jadi kita merancang untuk menambah tempat rehat mereka ini mengikut lokaliti di mana secara keseluruhan di Melaka mempunyai lebih 300 pekerja P-Hailing dan di Banda Hilir ini sahaja lebih kurang 70 ke 80 pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media pada Majlis Iftar Santai Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-22 Bandaraya Melaka Bersejarah 2025 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Img 20250315 223034 084
AB Rauf bergambar bersama sebahagian pekerja P-Hailing yang turut menjadi penyumbang memangkin ekonomi negeri Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada majlis terbabit, Ab Rauf turut merasmikan tempat istirahat pertama pekerja P-Hailing di Dataran Pahlawan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata penyediaan tempat istirahat itu juga adalah secara percuma, di mana ia boleh dijadikan pemangkin semangat kepada pekerja P-Hailing di negeri ini.

“Mereka ini juga adalah katalis kepada ekonomi Negeri Melaka, jadi kita harap mereka ini tidak lagi baring atau berehat di tempat yang tidak sepatutnya sehingga membahayakan nyawa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post LEBIH 1,500 IFTAR SANTAI BERSAMA KETUA MENTERI DI BANDA HILIR
Next post PAPAN TANDA ‘RUMAH CONTOH SEDIA DIJUNJUNGI’ HARAM, TIADA PERMIT – MBMB