Sorting by

×

MELAKA MAHU MERAKYATKAN SAINS – KM

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

LENDU 29 Oktober – Tema Minggu Sains Negara (MSN) 2024 Peringkat Negeri Melaka iaitu ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi’ amat bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memupuk selain meningkatkan lagi minat serta kesedaran orang ramai khusus generasi muda terhadap bidang berteknologi tinggi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sehubungan itu Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif digerakkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Sambutan Minggu Sains Negara yang juga selaras agenda Malaysia MADANI agar bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diberi tumpuan.

Jelas Ketua Menteri, inisiatif itu bertujuan untuk mencipta bakat seiring dengan kepesatan pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi semasa.

“Kini, bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) sememangnya memain peranan penting dalam usaha mentransformasi Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi tinggi selain mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar serta buruh asing.

“Justeru, Kerajaan Melaka optimis memperkasa pelbagai program pembangunan sains dan teknologi secara inklusif sebagai satu indikator utama untuk melahirkan lebih ramai rakyat negeri ini yang berkemahiran tinggi seiring matlamat mencapai negara berteknologi tinggi menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Majlis Perasmian MSN 2024 Peringkat Negeri Melaka 2024 di Universiti Teknologi MARA  (UiTM) Alor Gajah, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; Speaker Dewan Undangan Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Ab Rauf juga berharap agar inisiatif memperkasa STI menerusi penganjuran Minggu Sains Negara diteruskan pada masa akan datang demi memastikan Malaysia, khususnya Negeri Melaka terus maju sebagai Hab Inovasi dan Teknologi terunggul di rantau ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

206
Kongsi :
Previous post MAYAT WANITA DIPERCAYAI LEMAS DITEMUKAN DI PANTAI TANJUNG BIDARA
Next post ‘MATHEMATHICS ONLINE CHALLENGE’ CAPAI 15,000 PENYERTAAN
Ubah saiz-+=