MELAKA MAHU LAHIR LEBIH RAMAI PENGUSAHA TEMBIKAI WANGI

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERDANG 12 September – Program Latihan Khas ‘Melon to Million’ dilaksanakan bagi memberi peluang kepada rakyat Melaka menceburi bidang pertanian secara lebih serius.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif baharu itu, sekali gus memberi peluang kepada rakyat Melaka untuk menjana pendapatan dan pada masa yang sama mampu mewujudkan peluang pekerjaan dalam bidang pertanian.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri mempelawa golongan B40, remaja baru tamat persekolahan, pemegang sijil kemahiran berusia 18 tahun atau mereka sedang mencari kerja untuk mengikuti Program Latihan Khas ‘Melon to Million’ ditawarkan.

“Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan lagi kemahiran pengusaha baharu dalam pengurusan operasi ladang khususnya penanaman tembikai wangi (rock melon).

“Syarikat KMK Agro Global Sdn Bhd dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan program ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pavilion Negeri Melaka pada Sambutan Edisi ke-100 Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, usaha itu akan memberi nilai tambah kepada pengusaha baharu tembikai wangi dengan menganugerahkan sijil profesional daripada badan diiktiraf seperti Institut Kajian Perladangan UPM.

“Selain itu inisiatif ini turut mendapat kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menyokong Projek Mengoptimumkan Penggunaan Tanah di bawah Program Keterjaminan Makanan tahun 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

443
Kongsi :
Previous post MOTOSIKAL, BARANGAN ELEKTRIK MENANTI PENGUNJUNG BERTUAH PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA 2024
Next post MELAKA MAHU ANGKAT PRODUK ANAK KAMPUNG
Ubah saiz-+=