Melaka mahu lahir ‘huffaz cilik’ al-Quran

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ALOR GAJAH 27 Julai – Kewujudan Taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Pra Tahfiz di negeri ini mampu melahirkan ‘huffaz cilik’ yang menguasai hafazan al-Quran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata program kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu menjadi ‘game changer’ dalam memperkasakan pendidikan al-Quran.

“KEMAS mengorak langkah dengan memperkenalkan program ini dalam pendidikan awal kanak-kanak supaya dapat menguasai ilmu agama sejak kecil.

“Di Melaka, sebanyak tiga buah Tabika KEMAS Pra Tahfiz telah menjadi projek rintis dan terdapat 150 Tabika lagi bakal melaksanakan Modul Pra Tahfiz ini.

“Saya percaya, melalui usaha murni ini, ia dapat memupuk anak-anak sejak dari akar umbi untuk mencintai dan mengamalkannya al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Hari Potensi Tabika Kemas dan ‘Healthy and Bright Kids Digital Carnival’ Negeri Melaka Tahun 2024 di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Abdul Hakim Abdul Wahid.

Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) KEMAS, Rafea’ah Nahar dan Pengarah KEMAS Melaka, Asri Saleh.

Ab Rauf turut berharap supaya KEMAS terus mengekalkan prestasi cemerlang itu dan berusaha meningkatkan kualiti serta mutu perkhidmatan.

“Terus fokus agenda mendidik anak-anak Melaka melalui pembelajaran yang seimbang dari segi akademik dan jasmani.

“Tabika KEMAS sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada ibu bapa tidak kira di bandar mahupun luar bandar.

“Sehingga kini Negeri Melaka mempunyai sebanyak 304 Tabika KEMAS dengan jumlah seramai 7,007 kanak-kanak dan sebanyak 24 Taska dengan jumlah seramai 476 kanak-kanak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

286
Kongsi :
Previous post Lupus al-Quran lama, dapat yang baharu
Next post MHI kongsi rahsia jadi pencipta kandungan digital berjaya
Ubah saiz-+=