Melaka mahu kekal antara negeri terbaik patuh SOP PKP
AYER KEROH 14 Jan. – Kerajaan negeri optimis mampu mengekalkan kadar pematuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berkuat kuasa semalam hingga 26 Januari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ia mampu dicapai jika semua rakyat peka dan mengambil serius bahawa setiap SOP ditetapkan pihak berkuasa semata-mata untuk menjamin keselamatan dan kesihatan bersama.
Katanya, hal itu terbukti pada PKP 1.0 apabila Melaka muncul antara tiga negeri terbaik di seluruh negara dengan kadar pematuhan SOP PKP melebihi 98 peratus.
“Justeru, kali ini saya cukup yakin dan percaya rakyat Melaka juga boleh melakukan perkara sama dengan kita terus mematuhi segala peraturan dan SOP ditetapkan agar akhirnya kita bersama-sama dapat membantu untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 ini,” katanya pada segmen Bicara Ketua Menteri bersama MelakaFM dikeudarakan pagi tadi.
Mengulas lanjut, Sulaiman menegaskan, biarpun perlaksanaan PKP 1.0 dan sekarang amat berbeza, beliau merayu dan berharap rakyat tetap mematuhi setiap arahan ditetapkan.
“Dahulu kita diarah duduk di rumah di rumah, semua aktiviti ekonomi, sosial, sukan dilarang sama sekali kecuali sektor ekonomi yang perlu saja.
“Tapi PKP 2.0 berbeza. Walaupun banyak aktiviti dilarang, antaranya aktiviti sosial dan kenduri kahwin, larangan rentas daerah dan negeri serta pergerakan terhad dalam radius 10 kilometer, masih ada kelonggaran.
“Misalnya aktiviti ekonomi, kedai makan dan gerai penjaja di kawasan PKP dibenarkan hanya untuk bungkus,” katanya.
Mengenai cadangan pembukaan empat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini, Sulaiman berkata, perkara itu akan diperincikan hari ini.
Katanya, empat lokasi dicadangkan kekal iaitu di Dewan Tun Ali, Bukit Katil; Dewan Bistari, Ayer Keroh; Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan Dewan Citra Kasih, Bemban.