Melaka mahu jadi negeri terbaik bebas rasuah
SERI NEGERI 6 Mac – Penjawat awam Negeri Melaka perlu sentiasa menekankan aspek integriti dan tatakelola dalam melaksanakan segala dasar bagi mencapai status negeri pada kedudukan pertama terbaik bebas rasuah di Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi Kajian Tahap Rasuah Perkhidmatan Awam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu, Melaka direkodkan sebagai negeri kedua terbaik bebas rasuah.
“Besar harapan saya agar dalam kajian SPRM pada tahun hadapan, Melaka akan mendapat tempat pertama dalam kajian tersebut.
“Oleh itu, penjawat awam Melaka perlu sentiasa menekankan aspek integriti dan tatakelola dalam melaksanakan segala dasar, polisi dan agenda dirangka sama ada dibuat oleh kepimpinan tertinggi atau jabatan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Usul Terima Kasih Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) turut diperkasakan yang mana setiap ketua jabatan mesti menjadikan pengurusan aduan ini sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) wajib.
“Aduan-aduan ini mestilah diselesaikan dalam tempoh 14 hari kecuali yang kompleks dan melibatkan dasar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.