
MELAKA MAHU JADI LOKASI PELANCARAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026
KUALA LUMPUR 18 Februari – Kerajaan Melaka mencadangkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dilancarkan di negeri ini pada September depan ketika berlangsungnya Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC2025).
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, WTD2025 dan WTC2025 yang akan berlangsung di Melaka pada September depan bakal menghimpunkan 155 menteri pelancongan dunia dan ia dianggap sebagai masa paling sesuai bagi melancarkan VM2026.
“Bersempena dengan WTD2025 seramai 155 menteri pelancongan dunia akan berkumpul dan berkampung di Melaka bagi membincangkan tentang perdagangan melalui pelancongan.
“Menggunakan kesempatan itu saya mengharapkan Kerajaan Persekutuan dapat melancarkan VM2026 di Melaka dengan kehadiran menteri-menteri pelancongan seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi temubual berkenaan promosi sambutan Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan 20 Februari 2025 di program Malaysia Hari Ini (MHI), di Balai Berita Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) di Jalan Riong, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad serta Ketua Pegawai Operasi (COO) Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.