Sorting by

×

MELAKA MAHU ‘HIDUPKAN’ SEMULA WARISAN MARITIM

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

BANDARAYA MELAKA 4 November – Kegemilangan Melaka sebagai nadi perdagangan maritim yang amat disegani suatu ketika dahulu akan dikembalikan semula, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, penganjuran persidangan 1st Melaka International Maritime Economy Conference (MIMEC 2024) yang julung kali diadakan menjadi antara langkah awal Kerajaan Negeri bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Jelas beliau, persidangan yang menghimpunkan pakar bidang serta pemain-pemain industri maritim itu amat penting dalam membincangkan isu-isu berkaitan ekonomi maritim dan seterusnya mengadaptasikan kemajuan teknologi dan inovasi dalam sektor tersebut.

“Kepentingan Selat Melaka dari segi geopolitik dan geostrategik tidak boleh disangkal. Sewajarnya, kita memastikan Selat Melaka terus memainkan peranannya sebagai laluan perdagangan global yang aman dan makmur serta menjadi asas kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Seiring dengan inspirasi yang diambil sewaktu legasi maritim Kesultanan Melayu Melaka terdahulu, kerajaan negeri komited untuk meletakkan negeri ini sebagai sebuah pusat maritim dan perdagangan serantau yang moden dan berdaya saing selaras dengan kepentingan global hari ini.

“Kini, Melaka dalam proses membangunkan pelbagai infrastruktur termasuk pelabuhan moden dan hab logistik yang boleh menghubungkan Melaka dengan rangkaian perdagangan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian MIMEC 2024 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi TAG Marine Sdn Bhd, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Linggi International Port (KLIP), Tan Sri Dr. Noormustafa Kamal Yahya serta tetamu lain.

Menurut Ketua Menteri, bagi mengembalikan kegemilangan Melaka sebagai pusat maritim ekonomi, Kerajaan Negeri telah merangka satu zon pembangunan yang dikenali sebagai Straits Of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) iaitu satu koridor ekonomi baharu dan menyasarkan pelaburan berimpak tinggi meliputi kawasan tambakan pesisir pantai sejauh 20 kilometer.

Pada masa sama, ujar beliau, Kerajaan Negeri juga sedang memastikan proses pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) terus berkembang pesat dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan maritim dan kemudahan logistik maritim kepada kapal-kapal yang melalui Selat Melaka.

“Potensi industri maritim dalam pasaran ekonomi global dianggarkan lebih 80 peratus daripada perdagangan dunia adalah bergantung kepada sektor pengangkutan laut dan industri perkapalan.

“Maka, Kerajaan Negeri Melaka tidak memandang remeh keupayaan sektor ini terutamanya dalam konteks pemulihan ekonomi pasca-pandemik dan pembangunan lestari.

“Saya percaya, keberadaan pelabuhan yang serba moden dan lengkap dengan segala fasiliti penting dalam pembangunan hab ekonomi maritim dan logistik mampu menarik minat pemain-pemain industri maritim mahupun pelabur antarabangsa datang ke pelabuhan di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

171
Kongsi :
Previous post MELAKA AGRESIF LAKSANA KEMPEN CEGAH JENAYAH SIBER
Next post PEMBINAAN MICT PERLU DISEGERAKAN
Ubah saiz-+=