Sorting by

×

MELAKA MAHU ANAK MUDA HAYATI KISAH DI SEBALIK RUNTUHNYA SEBUAH KOTA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDA HILIR 21 Februari – Kerajaan Negeri mahu membawakan lebih banyak pengkisahan sejarah untuk dipersembahkan kepada tatapan umum, khususnya anak muda supaya mereka dapat menghayati erti sebuah kemerdekaan yang dikecap pada hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, imbauan semula sejarah itu amat penting supaya kebengkokan sejarah yang berlaku dapat diluruskan.

Beliau berkata, anak muda di negara dan di negeri ini khususnya wajar diberi pendedahan mengenai kisah bagaimana sebuah kota perdagangan yang gah suatu masa dahulu boleh runtuh dalam sekelip mata dan dijajah selama 446 tahun sebelum terbinanya sebuah negara baharu.

“Sewajarnya kisah ini diambil sebagai iktibar supaya tiada yang menjadi mangsa atas kealpaan generasi muda memandangkan kita baharu sahaja merdeka selama 67 tahun.

“Maka menerusi cuti umum 20 Februari sempena ulang tahun Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu ini saya membawakan semula nostalgia ini untuk diwariskan kepada anak muda.

“Ini supaya mereka dapat melihat bagaimana sesebuah bangsa itu dapat dibangkitkan semula atas semangat bersatu padu supaya di sebalik runtuhnya Kota Melaka itu, kita dapat membina sebuah negara yang jauh lebih hebat selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Rapat Umum Bahtera Merdeka sempena Sambutan Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di hadapan Muzium Belia, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, tahun ini merupakan tahun kedua buat Negeri Melaka meraikan cuti umum baharu sempena memperingati pengisytiharan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang dilaungkan di Padang Pahlawan Bandar Hilir pada tanggal 20 Februari 1956 lalu.

Beliau berkata, cuti umum baharu itu amat signifikan dalam membawa rakyat mengimbau betapa pentingnya kisah sebuah kedaulatan yang dikembalikan selepas melalui fasa penjajahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

98
Kongsi :
Previous post ‘RAPAT UMUM BAHTERA MERDEKA’ BAWA ORANG MELAKA KEMBALI BERNOSTALGIA
Next post LEBIH 75,000 NIKMATI ‘HADIAH’ MASUK PERCUMA DI MELAKA