Sorting by

×

MELAKA MAHU AKTIFKAN SEMULA PENERBANGAN KE PEKANBARU

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 2 November – Kerajaan Melaka berhasrat mahu mengaktifkan semula penerbangan ke Pekanbaru, Indonesia selepas kluster pelancongan kesihatan di negeri ini mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat negara jiran tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri melihatnya sebagai satu peluang baik memandangkan tahun lepas sahaja, seramai 82,941 pelancong kesihatan dari Indonesia telah mendapatkan rawatan di negeri ini.

“Kerajaan Negeri sedang berusaha mengaktifkan semula penerbangan ke Pekanbaru sebagai pasaran utama pelancongan kesihatan Indonesia yang menerima perkhidmatan rawatan kesihatan di Melaka.

“Berdasarkan rekod pada tahun lepas, negeri Melaka telah menerima seramai 82,941 pelancong kesihatan dari Indonesia yang mendapatkan rawatan di Melaka.

“Ia merupakan potensi besar untuk syarikat-syarikat penerbangan membuka laluan penerbangan terus dari Indonesia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024 di LTAM Batu Berendam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco serta wakil-wakil jabatan.

Img 20241102 Wa0368
AB Rauf menyantuni pengunjung KUAM 2024 di LTAM, Batu Berendam.

Dalam ucapannya, Ab Rauf turut memaklumkan penganjuran KUAM 2024 telah mencatatkan penyertaan peserta tertinggi iaitu lebih 500 peserta termasuk dari Indonesia dan Singapura.

“Dengan rekod penyertaan peserta tertinggi berbanding sebelum ini iaitu mencatatkan lebih 500 peserta dari seluruh negara termasuk Indonesia dan Singapura, KUAM 2024 membawa pelbagai pengisian acara dan aktiviti sepanjang karnival kali ini.

“Saya yakin, penganjuran acara-acara ikonik seumpama ini adalah satu langkah terbaik dan strategi serampang dua mata buat negeri Melaka bagi mempromosi sektor pelancongan negeri seiring dengan usaha merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1743
Kongsi :
Previous post 8 PASUKAN BERENTAP REBUT PIALA KETUA MENTERI MELAKA
Next post LTAM BERPOTENSI JADI HAB PENERBANGAN SERANTAU
Ubah saiz-+=