Sorting by

×

Melaka lulus lebih 450 permohonan Lesen Sampan Khas

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

SERKAM 2 Okt – Jabatan Perikanan Melaka meluluskan kira-kira 450 Lesen Sampan Khas kepada nelayan negeri pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pihaknya menerima lebih 1,000 permohonan dari negeri ini setiap tahun bagi mendapatkan lesen berkenaan.

Bagaimanapun katanya, selepas menjalankan pemutihan pihaknya meluluskan jumlah berkenaan selain meneliti kriteria ditetapkan bagi memenuhi syarat lesen terbabit.

“Jumlah keseluruhan yang memohon lebih daripada 1,000.

“Setakat ini kita berjaya luluskan di seluruh negeri Melaka lebih daripada 450 lesen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Lesen Sampan Khas, Bantuan Speks Akuakultur dan Bantuan Projek Dana Jaminan Makanan (DJM) di Jeti Nelayan Pernu, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Turut hadir Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Ahmad Tarmidzi Ramly dan Pengarah Perikanan Negeri Melaka, Mohd Fauzi Salehon.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata dalam majlis berkenaan pihaknya menyerahkan sebanyak 53 lesen membabitkan 49 nelayan di daerah Jasin manakala selebihnya dari Melaka Tengah.

“Kebanyakan mereka telah menunggu sekian lama dan ada yang lebih 10 tahun namun kita mensyaratkan mereka untuk mematuhi apa jua peraturan ditetapkan oleh Jabatan Perikanan.

“Ini bagi memastikan nelayan ini dapat melakukan aktiviti menangkap ikan secara sepenuh masa.

“Selain itu, penerima lesen berhak mendapat apa jua kemudahan dan manfaat yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada nelayan,” katanya.

ROSLI Ahmad

Dalam pada itu, penerima lesen Rosli Ahmad, 67 terharu apabila penantiannya selama 10 tahun untuk mendapatkan lesen berkenaan terlaksana.

“Saya dah buat permohonan sejak 10 tahun lalu, banyak kali ditolak namun setelah dua kali ditemuduga, bersyukur sangat akhirnya ia diluluskan.

“Kalau dulu, kita tumpang jadi awak-awak kepada nelayan berlesen, sekarang sudah ada lesen sendiri dapatlah menangkap ikan dengan tenang dan yakin tanpa perlu risau diganggu pihak berkuasa,” katanya.

Bagi Haron Dralin, 67 dia tidak menyangka permohonannya tiga tahun lalu diluluskan meskipun sudah 11 tahun menjadi nelayan.

“Saya mula membuat permohonan pada tahun 2019, mungkin rezeki belum ada, apapun saya mengucapkan terima kasih kepada jabatan berkaitan kerana meluluskan permohonan saya,” katanya.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

904
Kongsi :
Previous post Azalina dilantik Penasihat Khas PM
Next post RM1.2j untuk 46 penternak dan nelayan
Ubah saiz-+=