Sorting by

×

MELAKA LONJAK POTENSI PELAJAR PENDIDIKAN KHAS

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 April – Lebih 5,500 murid dan pelajar Sekolah Pendidikan Khas Negeri Melaka menyertai Karnival Bakat dan Kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Negeri Melaka Tahun 2025.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata karnival itu disertai peserta daripada 153 buah sekolah yang mempunyai kelas Pendidikan Khas di seluruh Melaka.

Jelas beliau, karnival yang memasuki tahun kedua penganjuran di Peringkat Negeri Melaka itu bertujuan mempamerkan bakat dan kemahiran yang ada pada pelajar pendidikan khas.

“Kita tidak mahu bakat anak-anak istimewa ini hanya tersimpan di bilik darjah, tetapi kita mahu mereka berdikari, berkebolehan dan menyumbang kepada masyarakat.

“Kebolehpasaran ini bukan hanya bergantung kepada akademik, malah kemahiran insaniah, keusahawanan dan sikap positif adalah aset penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Karnival Bakat dan Kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Negeri Melaka Tahun 2025 di sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, karnival tersebut juga diadakan bagi membantu anak-anak istimewa mendapatkan pekerjaan selepas tamat persekolahan.

“Seperti karnival ini, seramai 15 pelajar dari pelbagai sekolah telah memberikan ‘resume’ kepada pihak pusat beli belah untuk memberi peluang kepada pelajar pendidikan khas yang bakal menamatkan zaman persekolahan.

“Kebanyakan mereka ini juga boleh bekerja dalam pelbagai bidang dan sektor antaranya kulinari, perkhidmatan serta pelbagai lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1985
Kongsi :
Previous post ‘RAYA DULU-DULU’ TEMA RUMAH TERBUKA AGENSI AGAMA ISLAM MELAKA