Melaka lebar sayap tarik pelancong Indonesia
PEKANBARU 9 Jun – Selepas memasuki fasa peralihan ke endemik, kerajaan negeri Melaka menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri giat melaksanakan promosi di luar negara.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata promosi yang dilaksanakan BPP itu meliputi pelancongan domestik dan antarabangsa memandangkan pintu sempadan telah dibuka April lalu.
“Menerusi Misi Galakan Pelancongan Melaka ke Dumai dan Pekanbaru ini, kita harapkan lebih ramai penduduk di sini dapat berkunjung ke Melaka.
“Melaka pada sebelum kehadiran pandemik COVID-19 pernah mencecah kehadiran pelancong sehingga 19 juta dan kini kita bangkit semula dengan giat melaksanakan pelbagai promosi dan tawaran bagi menarik pengunjung.
“Dengan usaha yang berterusan dan kerjasama yang lebih erat bersama Provinsi Riau, jumlah kehadiran pelancong ke Negeri Melaka dan Provinsi Riau khususnya ke Pekanbaru akan dapat dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Festival Semarak Pelancongan Melaka di SKA Mall, di sini hari ini.
Hadir sama Gubernur Riau, H. Syamsuar, EXCO Pelancongan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata pembukaan terminal feri antara Dumai dan Melaka merupakan langkah yang baik bagi merancakkan lagi industri pelancongan kedua-dua negara.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Sulaiman memohon agar Kerajaan Republik Indonesia dapat membuka segera Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II (SSK II), Pekanbaru.
Ujarnya, hal itu kerana penerbangan antarabangsa khususnya dari Melaka ke Pekanbaru menerusi SSK II itu mempunyai permintaan yang tinggi dalam pelancongan kesihatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.