Melaka lancar Kod QR Prih@tinJkmMelaka

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat
AYER KEROH 11 Mei – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menjadi antara negeri terawal yang menggunakan inisiatif imbasan kod QR untuk menyalurkan aduan atau maklum balas.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, kod QR Prih@tinJkmMelaka itu akan memudahkan orang ramai untuk mengakses atau memberi maklumat bila-bila masa.
“Melalui mekanisma ini semua pihak hanya perlu mengimbas kod QR untuk memberi maklumat sebelum diselaraskan oleh pegawai dan akan menerima jawapan selewat-lewatnya dalam masa tujuh hari bekerja.
“JKM Melaka antara negeri terawal yang mengguna pakai medium kod QR sebagai saluran, aduan, isu dan pemasalahan rakyat.
“Antara maklum balas dan maklumat yang boleh diakses adalah semakan status permohonan, kes penderaan, keganasan rumah tangga dan perkhidmatan kaunseling  termasuk semakan status pendaftaran taska serta pusat jagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kod QR Prih@tinJkmMelaka, di Pejabat JKM Melaka di Kota Cemerlang, hari ini.
Hadir sama Pengarah JKM Melaka Zulkefli Hanifah dan Timbalannya Ismail Barom.
Menurut Kalsom, inisiatif itu dibuat bukan bermaksud JKM  tidak proaktif sebaliknya memastikan permasalahan rakyat dapat disampaikan secara terus, bagi membolehkan bantuan disalur segera.
“Imbasan kod QR ini boleh diguna bermula hari ini dan didapati menerusi Facebook JKM Melaka, namun begitu orang ramai yang ingin datang seperti biasa ke Pejabat JKM untuk membuat aduan masih boleh berbuat demikian.
“Selain itu, rakyat juga tidak perlu risau akan maklumat tidak tepat berkaitan JKM kerana menerusi medium ini maklumat yang diterima oleh rakyat Melaka adalah betul, tepat dan benar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1358
Kongsi :
Previous post Bekalan air Melaka mampu bertahan hingga September
Next post Sambutan mega Mahabbah Aidilfitri UTeM
Ubah saiz-+=